Pemain sayap negara, Arif Aiman berjaya mengekalkan prestasi cemerlang dalam saingan AFC Champions League (ACL) Elite dimana beliau membantu kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke peringkat kalah mati.

Dalam aksi menentang Pohang Steelers, Arif menjaringkan satu gol dalam kemenangan 5-2 JDT ke atas wakil dari Korea itu sekaligus melebarkan lagi rekod jaringan beliau.

Baca Juga:

Arif Aiman Satu Panggung Dengan CR7

Dalam carta penjaring terbanyak bagi aksi peringkat kumpulan, Arif berada di kedudukan ketiga dimana beliau hanya dibezakan dua jaringan dengan penjaring terbanyak ketika ini.

Jasir Asani (Gwangju) dan Saleem Al-Dawsari (Al-Hilal) menerajui carta penjaring terbanyak dimana dua pemain ini menjaringkan 7 gol dalam saingan peringkat kumpulan.

Di tangga kedua, dua pemain iaitu Cristiano Ronaldo (Al-Nassr) dan Anderson Lopes (Yokohama F Marinos) terikat apabila keduanya menjaringkan 6 gol.

Arif Aiman
Kredit Foto: Al Nassr Saudi Club

Kedudukan tangga ketiga menyaksikan ada enam pemain yang berkongsi kedudukan seperti Aleksandar Mitrović (Al-Hilal), Arif Aiman, Ivan Toney, Riyad Mahrez (Al-Ahli), Matías Vargas (Shanghai Port),  dan Soufiane Rahimi (Al-Ain) dimana mereka masing-masing menjaringkan 5 gol.

Arif Aiman Sudah Sedia Beraksi Di Pentas Besar?

Melihat kepada prestasi yang ditampilkan oleh Arif, beliau dilihat sudah bersedia sekiranya mahu mencari cabaran baharu dan beraksi di liga luar negara.

Arif Aiman
Kredit Foto: FAM

Akan tetapi, menurut seorang pemerhati yang selalu membawa perkembangan mengenai bola sepak Jepun di laman X iaitu Ahmad Ridzuan, ada beberapa faktor yang perlu dilihat sekiranya Arif mahu beraksi di Liga Jepun.

Pertama, meskipun graduan Akademi Mohktar Dahari (AMD) itu menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan ACL Elite, namun persekitaran yang berbeza setiap minggu bakal menjadi cabaran bagi pemain itu.

Selain itu, Arif juga bakal memikul tugasan berat yang mana beliau perlu memecahkan dinding kepercayaan orang Jepun terhadap pemain Malaysia yang mana gagal dilakukan oleh pemain sebelum ini.

Sekiranya Arif berjaya, maka beliau akan menjadi pembuka jalan kepada pemain lain untuk beraksi di salah satu liga terbaik Asia itu.

Akan tetapi, sekiranya tidak berjaya, maka Malaysia perlu menghasilkan pemain yang jauh lebih bagus berbanding Arif sekiranya mahu dihantar beraksi di luar negara.