Pisang dan Selotip, dua benda biasa ini telah mengejutkan dunia seni apabila karya seni oleh Maurizio Cattelan berjaya dijual pada harga luar biasa RM23.5 juta (US$5.2 juta) di lelongan Sotheby’s New York, lapor Malay Mail.
Walaupun anggaran awal hanya sekitar US$1 juta hingga US$1.5 juta, harga karya ini melonjak tinggi dalam acara lelongan tersebut.
Malah, Sotheby’s turut menerima bidaan menggunakan kriptowang.
Tukang lelong sempat berseloroh, “Saya tak sangka akan ucapkan, ‘US$5 juta untuk sebiji pisang.’”
Karya ini, yang memulakan debut di Art Basel Miami 2019 dengan harga asal hanya US$120,000, terus mencetuskan perbualan hangat tentang seni kontemporari.
Pada acara tersebut, ia mencipta sejarah apabila seorang artis persembahan, David Datuna, memakan pisang itu di hadapan ramai, menyebabkan ia segera digantikan dengan yang baru.
Pembida tertinggi, yang identitinya dirahsiakan, membuat pembelian melalui pejabat Sotheby’s di China.
Sebagai tambahan kepada pisang dan gulungan selotip, pembeli akan menerima sijil asli serta panduan terperinci untuk mempamerkan karya seni tersebut.
Lelongan ini turut dikenakan komisen tambahan sebanyak US$1.2 juta (RM5.4 juta), menjadikan jumlah kos keseluruhan mencecah RM28.9 juta (US$6.24 juta).
Pada 2019, karya seni yang dipanggil ‘Comedian’ ini terjual kepada seorang pengumpul dari Perancis dan tiada siapa faham mengapa ada orang sanggup membeli ‘karya seni’ ini.
Tetapi karya ini mirip karya seni yang pernah dihasilkan artis legenda Andy Warhol pada tahun 1967 yang turut memilih pisang sebagai subjek.
Pada tahun yang sama, seorang artis bernama David Datuna dengan selamba telah memakan karya seni ini.
Beliau menamakan pementasan itu sebagai ‘Hungry Artist’ dan kerja gila tersebut disaksikan oleh pengunjung yang hadir di pameran tersebut.
Ramai yang terlopong dengan apa yang berlaku dan David mempunyai sebabnya yang tersendiri atas perbuatannya itu.
“Saya boleh makan pisang berkenaan kerana saya juga merupakan seorang artis, bukan manusia biasa,” terang David.