Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan rasmi mengesahkan satu insiden letupan telah berlaku berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota Malaysian Battalion 850-12 (MALBATT 850-12) dari Beirut ke Kem Marakah.

Kejadian itu berlaku pada 7 November 2024 (Khamis) jam 1.54 tengahari waktu Lubnan atau 7.54 malam waktu Malaysia.

Baca Juga:

Difahamkan letupan itu berlaku akibat serangan Israel yang menyasarkan sebuah kenderaan awam di sekitar kawasan tersebut.

“Letupan tersebut telah menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota MALBATT 850-12.

“Akibat kejadian tersebut, seramai enam orang anggota MALBATT 850 mengalami kecederaan iaitu lima anggota melibatkan MALBATT 850-12 mengalami pelbagai cedera ringan termasuk seorang yang mengalami kecederaan di bahagian tangan (suspected closed fracture left arm) dan seorang lagi melibatkan anggota MALBATT 850-11 yang juga mengalami cedera ringan,” kata kenyataan ATM.

Menurut kenyataan tersebut, anggota yang cedera di tangan telah segera dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh Pegawai Perubatan MALBATT 850-11.

“ATM akan terus memantau perkembangan situasi ini dengan rapi dan akan memaklumkan sebarang kemas kini berkaitan insiden ini dari masa ke semasa.

“ATM kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” jelas mereka.

Seramai 220 MALBATT 850-12 (kumpulan pertama) berlepas ke Lubnan sejak kelmarin bagi menjalankan misi pengaman di sana.

Pergerakan penerbangan menggunakan pesawat Batik Air melibatkan penghantaran Kontinjen MALBATT 850-12 dan membawa pulang Kontinjen MALBATT 850-11 yang telah berkhidmat selama 12 bulan.