Australia menyuarakan minat mereka untuk menghantar bidaan bagi menjadi tuan rumah temasya Piala Asia edisi 2031.

Negara yang menjadi tuan rumah dan memenangi kejohanan pada edisi 2015 dan akan mengadakan Piala Asia Wanita pada 2026, menyerahkan surat menyatakan mereka berminat kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 24 Februari, kata FA Australia.

Baca Juga:

Australia
Kredit Foto: REUTERS/Issei Kato

“FA Australia berbesar hati untuk mengesahkan bahawa kami telah mengemukakan pernyataan minat untuk menjadi tuan rumah Pusingan Akhir Piala Asia AFC 2031,” kata jurucakap FA dalam satu kenyataan pada 25 Februari.

“Langkah penting ini mengesahkan komitmen kami untuk memajukan permainan indah di Australia dan di pentas antarabangsa, sambil mematuhi sepenuhnya proses bidaan seperti yang ditetapkan oleh AFC.”

Australia Bersaing Dengan Negara Lain

Selain Australia, beberapa negara lain turut menghantar bidaan termasuk gabungan dari tiga negara Asia Tengah iaitu Uzbekistan, Tajikistan dan Kyrgyzstan.

“Piala Asia adalah lebih daripada kejohanan bola sepak, ia adalah perayaan perpaduan, kemajuan dan kecemerlangan sukan,” kata presiden Persatuan Bola Sepak Asia Tengah Rustam Emomali dalam catatan di Instagram.

“Asia Tengah mempunyai budaya bola sepak yang berakar umbi dan pangkalan peminat yang bersemangat, dan kami yakin bahawa bersama-sama, Tajikistan, Uzbekistan dan Republik Kyrgyz boleh menyampaikan kejohanan luar biasa yang meninggalkan legasi yang berkekalan.”

Selain itu, negara jiran iaitu Indonesia sudah menghantar bidaan pada 11 Disember lalu dimana negara itu sudah menyenaraikan venue sekiranya mereka dipilih sebagai tuan rumah.

Australia
Kredit Foto: REUTERS/Ajeng Dinar Ulfiana

Antara stadium yang dipilih sebagai venue ialah Stadium Gelora Bung Karno, Stadium Antarabangsa Jakarta, Stadium Gelora Bung Tomo, Stadium Jalak Harupat, Stadium Manahan, Stadium Gelora Sriwijaya, Stadium Pakansari, dan Stadium Sumatera Utara.

Dua negara Arab iaitu Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menghantar bidaan. Kuwait sebelum ini pernah menjadi tuan rumah Piala Asia 1980.

Beberapa stadium yang menjadi tuan rumah ialah Stadium Antarabangsa Jaber Al-Ahmad, Stadium Sulaibikhat, dan dua stadium yang akan siap pada 2025. Mereka juga merancang untuk membina lebih banyak stadium mengikut piawaian AFC dan FIFA.

UAE pula telah dua kali menjadi tuan rumah bagi pertandingan bola sepak antarabangsa utama di rantau Asia – pada 1996 dan 2019.