Setiap kali musim Ramadan tiba, masakan ayam percik pasti jadi juadah ‘wajib’ di atas meja.

Walaupun mendapat permintaan yang tinggi, para peniaga ayam percik di negeri Kelantan meluahkan kebimbangan untuk berniaga sepanjang Ramadan dengan trend kenaikan harga santan terus meningkat.

Memetik Berita Harian, harga ayam percik masih kekal antara RM9 hingga RM10. Tetapi harga makanan itu akan dinaikkan sekiranya harga santan meningkat mahal.

Dalam satu temu bual Berita Harian dengan peniaga, walaupun harga santan jauh lebih mahal berbanding sebelum ini, dia masih menjual dengan harga sama.

Dah Tak Dapat RM10, Ayam Percik Di Kelantan Mungkin Naik Harga
Sumber Gambar: ExpatGo

“Untuk menaikkan harga memang kita rasa kasihan kepada pembeli dan masih bertahan walaupun keuntungan semakin sedikit.

“Namun jika benar harga santan akan naik sehingga RM20 sekilogram, kita juga terpaksa menaikkan harga ayam percik. Kita juga terpaksa memikirkan keuntungan selain perlu membayar gaji pekerja.

“Saya juga sudah berbincang dengan suami sekiranya banyak harga bahan mentah naik termasuk santan, kita juga terpaksa buat begitu,” kata Wan Marini Muhamad Nazi, 42.

Harga ayam percik mungkin terpaksa dinaikkan
Dah Tak Dapat RM10, Ayam Percik Di Kelantan Mungkin Naik Harga
Sumber Gambar: Facebook 辣手网

Sementara seorang lagi peniaga dikenali sebagai Hamidah Saat, 45, dia turut bimbang dengan situasi harga santan sehingga terpaksa menaikkan harga ayam percik.

“Seketul ayam percik saya juga kini RM10 dan saya pun tengah berfikir macam mana mahu menjual Ramadan nanti sekiranya harga santan masih mahal dan terus meningkat.

“Saya turut berharap tiada pihak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sesuka hati kerana kesannya kepada peniaga makanan seperti kami,” katanya.

Terdahulu peniaga santan serta kelapa di Kelantan meluahkan rasa bimbang apabila bekalan buah kelapa berkurangan sehingga harga naik mendadak.

Difahamkan sejak awal Disember lalu harga santan pada asalnya sekitar RM9 hingga RM10 sebelum ini kini meningkat kepada RM17 hingga RM18.

Dijangka harga santan di Kelantan terus meningkat kepada RM20 sekilogram menjelang Ramadan. Ini kerana bekalan buah kelapa masih berkurangan.