Pelibas utama skuad sepaktakraw negara, , Mohamad Azlan Alias terpaksa berehat hampir dua bulan selepas beliau disahkan mengalami retak tulang siku.
Perkembangan terkini itu disahkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dalam satu kenyataan dikeluarkan laman Facebook rasmi tersebut.
Baca Juga:
- Penantian Malaysia Berlarutan, Thailand Juara Regu Berpasukan Sepaktakraw Piala Asia 2025
- Sepaktakraw Piala Asia 2025: Malaysia Atasi Thailand Untuk Juarai Acara Regu
- Malaysia Muncul Juara Quadrant Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025
Azlan mengalami kecederaan tersebut ketika beraksi pada perlawanan akhir acara regu berpasukan Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Seperti apa yang dapat disaksikan tempoh hari, Azlan tetap gagah menamatkan perlawanan tersebut dengan cukup bersemangat walaupun beraksi dalam kesakitan hampir keseluruhan permainan.

Bergandingan bersama Syahir Rosdi dan Amirul Zazwan Amir, skuad negara tewas 11-15, 15-12, 15-17 kepada Jakkrit Thinbangbon, Sutthikiart Panseankaew dan Wuttinun Kamsanor dalam aksi yang berlangsung selama hampir dua jam.
“Mohamad Azlan Alias mengalami keretakan tulang setelah membuat pemeriksaan pada pagi ini. Beliau dinasihatkan dan dijangka akan berehat selama 2 bulan oleh Doktor.”
Azlan Alias Bakal Terlepas Aksi Awal STL 2025
Dengan tempoh masa tersebut, Azlan berkemungkinan besar akan terlepas peluang aksi Liga Divisyen 1 dimana beliau baharu sahaja diumumkan sebagai pemain Melaka Titans.
Melaka Titans turut mengumumkan kehadiran Syahir Rosdi dan Zaim Razali dalam usaha untuk membawa kembali kelab tersebut ke Liga Premier.

Sekiranya Melaka Titans layak beraksi di Liga Premier, Azlan Alias akan menggalas tanggungjawab bersama pasukan baharunya itu pada penghujung saingan.
Kempen Liga Divisyen 1 akan bermula 28 Mei hingga 1 Jun manakala Liga Premier pula berlangsung dari 18 Jun hingga 24 Ogos.