Hujung minggu lalu, penulis berkesempatan ke Negeri Sembilan untuk melawat sendiri antara peninggalan sejarah Perang Dunia Ke-2 yang berlaku di negara kita.
Bersama dengan lima orang rakan dan seorang penunjuk arah, kami memilih untuk bermalam dahulu di salah satu tapak perkhemahan yang terletak di kaki Gunung Berembun sebelum meneruskan ekspedisi menjejak bangkai kapal terbang B24 Liberator KL654.

Perjalanan yang mengambil masa hampir enam jam untuk sampai ke puncak Gunung Berembun dan seterusnya ke bangkai kapal terbang yang terletak Gunung Telapak Buruk memang mencabar.
Untuk anda yang mahu ke sana, pastikan mental dan fizikal anda berada pada tahap yang baik serta jangan lupa untuk bawa bekalan makanan dan minuman yang cukup kerana pendakian untuk ke puncak adalah sangat mencabar.

Namun, perasaan teruja apabila sampai di puncak dan seterusnya ke bangkai kapal terbang membuatkan perjalanan yang panjang tidak terasa penatnya.
Sejarah
Untuk pengetahuan anda, kapal Liberator Tentera Udara Diraja B-24 atau B24 Liberator KL654 terhempas di Gunung Telapak Buruk selepas beberapa hari Perang Dunia Ke-2 tamat. Kapal yang bertanggungjawab membawa makanan itu terhempas di hutan terpencil sekitar Seremban setelah berlepas dari pangkalannya di Kepulauan Cocos, Australia.



Kurang dari seminggu selepas Jepun menyerah kalah, lapan orang kru dihantar dalam misi ke Semenanjung Tanah Melayu untuk menghantar bekalan makanan – terdapat teori yang menyatakan bahawa B24 Liberator KL654 juga ditugaskan untuk menyebarkan risalah yang mengumumkan bahawa perang sudah berakhir.
Namun, tiada tanda isyarat merbahaya, tiada juga penunjuk bahawa pesawat sedang mengalami masalah. Tanpa disangka, ia jatuh di hutan tebal, tanpa jejak dan hilang tanpa dikesan.



Enam puluh tahun kemudian, orang asli melaporkan telah menjumpai satu objek yang aneh di tengah-tengah kawasan hutan. Bangkai kapal terbang ini dilaporkan pertama kali dilihat pada tahun 1950-an, namun disebabkan faktor pemberontakan dari puak komunis, laporan ini tidak jelas dan tidak pernah disahkan.
Sehinggalah pada tahun 1990-an, penduduk tempatan datang untuk melihat sendiri serpihan pesawat yang dikatakan menghuni Gunung Telapak Buruk. Mereka menjumpai ekor pesawat dan dipercayai ia adalah antara serpihan kapal terbang B24 Liberator KL654.



Cubaan mencari dilakukan pada 2006. Namun tiga tahun kemudian, iaitu pada 2009 ekskavasi yang dilakukan oleh sukarelawan dari Britain dan Malaysia menemui 80 cebisan tulang kru pesawat tersebut. Kesemua cebisan tulang itu telah diserahkan kepada Penasihat Pertahanan Tentera British, Kapten Kenneth Taylor.
Ketika sampai di sana, penulis berkesempatan melihat sendiri ekor kapal terbang yang dijumpai oleh orang asli terbabit. Manakala tidak jauh daripada situ, penulis juga menjumpai beberapa serpihan lain seperti sayap, bahagian badan, tayar, enjin dan beberapa cebisan kecil yang akhirnya sebati dengan tanah di Gunung Telapak Buruk.



Apa yang boleh penulis katakan, walaupun sudah lebih 50 tahun kejadian yang membunuh semua anak kapal, B24 Liberator KL654 masih terpelihara dengan baik. Walaupun terletak di hutan yang tebal, ia masih menjadi destinasi popular untuk kaki hiking.
Baca juga artikel lain.
Setia Alam Community Trail, Lokasi ‘Hiking’ Pilihan Buat Warga Lembah Klang
10 Lokasi Treking Dan Hiking ‘Best’ Dalam Malaysia Untuk Kaki Gunung
8 Gunung Tinggi Di Malaysia Untuk Dijadikan ‘Wishlist’ Buat Kaki Hiking