Pada tahun 2007, Sheikh Dr. Muszaphar Shukor mencatat sejarah sebagai angkasawan pertama Malaysia yang dihantar ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Namun, apa yang menjadikan misi beliau unik adalah cabaran untuk memenuhi kewajipan sebagai seorang Muslim – menunaikan solat lima waktu di ruang angkasa yang penuh dengan batasan fizikal dan waktu.
Menurut akaun TikTok Crash Course, ISS bergerak pada kelajuan 28,000 kilometer sejam, mengelilingi Bumi setiap 90 minit.
Ini bermaksud satu hari di angkasa hanya berlangsung selama satu setengah jam, menjadikan waktu solat hampir mustahil untuk diikuti.
Selain itu, arah Kiblat – menuju Kaabah di Mekah – sentiasa berubah akibat pergerakan ISS.
Untuk mengatasi cabaran ini, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia mengumpulkan pakar Islam dari pelbagai disiplin untuk merumuskan penyelesaian.
Hasilnya, mereka menghasilkan “Panduan Ibadah Di Stesen Angkasa“.
“Dia boleh mencari lokasi Kaabah ke angkasa secara matematik, menggerakkan kepalanya dan bukannya berbaring yang sudah tentu agak sukar dalam graviti sifar, dan menggunakan titik berlepasnya untuk mengira masa solat dalam sehari.
“Akhirnya, beliau dapat mengekalkan kewajipan ritualnya tetapi dengan cara yang sedikit berbeza,” katanya.
Kisah Sheikh Muszaphar ini menerima pelbagai reaksi.
Ada yang memuji Malaysia kerana menerajui perbincangan agama dan sains, sementara ada yang mempersoalkan keperluan menghantar seorang angkasawan jika ia melibatkan kos tinggi.
Menariknya, misi angkasa Sheikh Muszaphar berlangsung pada dua hari terakhir Ramadan.
Netizen mendakwa bahawa beliau adalah angkasawan Muslim pertama dari Malaysia yang berpuasa dan menyambut Aidilfitri di ruang angkasa.
Untuk rekod, Program Angkasawan Negara bermula pada 2006 dengan misi untuk menghantar angkasawan dari negara Malaysia ke angkasa lepas.
Pada 4 September 2007, Sheikh Muszaphar Shukor telah dipilih sebagai Angkasawan Malaysia yang pertama.
Beliau berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa menaiki Soyuz TMA-11 pada 10 Oktober 2007.