Dr. Martens, atau lebih dikenali sebagai “Doc Marts” di kalangan peminatnya merupakan salah satu jenama kasut paling dikenali di dunia subkultur.

Kebetulan The Vocket berkesempatan berkunjung ke kedai baru mereka di Sunway Pyramid yang dibuka secara rasmi pada 22 November 2024.

Jadi kami tertanya-tanya juga, bagaimana kasut jenama ini boleh berkembang daripada but kerja yang dijual untuk orang bertukang, sehingga ia menjadi simbol budaya, muzik, dan pemberontakan, daripada sesuatu yang biasa kepada ikon subkultur?

Semuanya bermula di sebuah bandar kecil di Wollaston, Northamptonshire, England pada tahun 1901.

Keluarga Griggs terkenal sebagai pembuat but yang tahan lasak dan berkualiti untuk pekerja.

Selama lebih 60 tahun, kasut keluaran mereka dikenali sebagai pilihan utama golongan pekerja.

Bagaimanapun, semasa Perang Dunia Kedua, Dr. Klaus Maertens, seorang doktor dari Jerman, mencipta tapak kasut dengan tujuan untuk menyembuhkan kecederaan pada kakinya.

Dengan bantuan rakannya, Dr. Herbert Funk, mereka mula menghasilkan kasut menggunakan bahan lebihan tentera.

Pada tahun 1959, mereka memutuskan untuk memasarkan rekaan inovatif mereka ke peringkat antarabangsa.

Di England, keluarga Griggs melihat potensi rekaan ini dan membeli lesen eksklusif untuk kasut Maertens.

Bagaimana Jenama Dr. Martens Menjadi Ikon Subkultur Dan Simbol Pemberontakan
Dr. Martens 1460

Mereka menambah sentuhan baharu seperti jahitan kuning, rekaan tapak unik, dan gelung tumit bertulisan “Airwair with Bouncing Soles”.

Pada 1 April 1960, but ikonik 8-lubang yang dikenali sebagai 1460 dilahirkan.

Pada mulanya, ia dijual sebagai kasut kerja sahaja dengan harga hanya £2 pada masa itu.

Tanpa dirancang, jenama Dr. Martens mula menarik perhatian kumpulan subkultur iaitu golongan skinhead yang merupakan golongan kelas pekerja di British.

Pete Townshend, gitaris The Who, kemudian memakai but ini sebagai simbol identiti dan mula mendapat perhatian ramai.

Sejak itu, Dr. Martens menjadi sebahagian daripada gelombang budaya dan diterima oleh pelbagai kumpulan termasuk punk, glam, goth, dan Two Tone.

Bagaimana Jenama Dr. Martens Menjadi Ikon Subkultur Dan Simbol Pemberontakan
Ikon yang menjadikan Dr. Martens sekarang.

Tidak terhad kepada golongan lelaki, jenama ini mula menarik perhatian wanita yang memakai but ini sambil menghiasnya dengan corak bunga atau aksesori unik.

Pada masa yang sama, pemuzik hardcore Amerika yang melawat UK membawa Dr. Martens pulang ke AS dan memperkenalkan jenama ini di sana.

Di era tahun 1990-an, budaya grunge membawa Dr. Martens ke pentas utama bersama artis seperti Kurt Cobain, manakala genre seperti Britpop dan nu-metal turut membantu mempopularkan kasut ini.

Namun, seperti hidup, Dr. Martens juga ada pasang surutnya.

Menjelang awal 2000-an, jenama ini mengalamai jualan yang merosot sehingga hampir muflis.

Hanya satu kilang di UK kekal dibuka pada tahun tersebut.

Tetapi pada 2003, pereka fesyen mula memberi kembali makna kepada rekaan klasik 1460, membawa jenama ini kembali ke dunia fesyen.

Bagaimana Jenama Dr. Martens Menjadi Ikon Subkultur Dan Simbol Pemberontakan
Kedai baru Dr. Martens di Sunway Pyramid.

Kilang asal di Northampton kembali menghasilkan but buatan tangan pada 2007, menandakan era kebangkitan Dr. Martens.

Hari ini, Dr. Martens kekal sebagai lambang individualiti dan pemberontakan.

Ia dihidupkan oleh peminat dari pelbagai latar belakang – daripada subkultur punk hingga fesyen moden.

Mesejnya jelas: kasut ini adalah simbol ekspresi diri, bukan sekadar aksesori fesyen.