Warner Bros. telah mengumumkan bahawa kesemua filem keluarannya untuk tahun 2021 bakal ditayangkan serentak di platform penstriman, HBO Max dan juga di pawagam.
Menurut laporan New York Times, langkah ini diambil sebagai satu strategi untuk terus bertahan dalam era pandemik global yang masih belum diketahui pengakhirannya.
Terdapat 17 filem keluaran Warner Bros. yang bakal ditayangkan pada tahun hadapan. Antaranya adalah The Little Things, Judas and the Black Messiah, Godzilla vs. Kong, Mortal Kombat, The Conjuring: The Devil Made Me Do It, dan sekuel kepada The Suicide Squad.
Meskipun vaksin untuk virus ini bakal dikeluarkan tak lama lagi, Warner Bros. tidak yakin bahawa orang ramai bakal ingin menonton wayang di pawagam seperti dahulu untuk jangka masa yang lama, mungkin sehingga tahun 2022.
Melihat kepada penutupan pawagam dan penurunan jualan tiket untuk sektor tersebut membuatkan langkah untuk bertukar ke platform penstriman seperti sebuah alternatif yang terbaik.
Langkah drastik daripada Warner Bros. ini dilihat seperti boleh meninggalkan impak yang besar kepada industri perfileman. Adakah langkah ini bakal menjadi sebuah norma baharu dalam industri ini?
Akan tetapi, langkah yang diambil oleh Warner Bros. dan beberapa syarikat produksi yang lain ini mungkin boleh meninggalkan kesan kepada industri pawagam.
Kesan kepada industri pawagam
Setiap filem baharu akan ditayangkan di pawagam dahulu bagi mengaut keuntungan sebelum filem tersebut boleh dibeli atau disewa. Kemudian, selepas beberapa bulan filem tersebut ditayangkan, barulah filem tersebut boleh distrim di platform penstriman seperti Netflix dan sebagainya.
Rantaian ini berpaksikan kepada prinsip ekonomi yang dinamakan ‘price discrimination‘ di mana harga premium akan dikenakan kepada mereka yang ingin menonton filem tersebut dengan kadar yang paling awal.
Hadirnya platform penstriman seperti Netflix yang sering mengeluarkan filem sendiri telahpun mengacau rantaian ini dan melihat kepada langkah yang diambil Warner Bros. yang merupakan diantara syarikat produksi terbesar Hollywood, sedikit sebanyak akan menganggu gugat industri pawagam.
Difahamkan, kesemua filem Warner Bros. untuk tahun hadapan yang boleh distrim di HBO Max hanyalah eksklusif buat warganegara Amerika sahaja dan tayangan secara global tetap bakal dikeluarkan di pawagam seperti biasa. Pun begitu, tidak boleh dinafikan bahawa pengaruh Amerika kepada setiap industri adalah besar.
Walaupun langkah yang diambil ini bersifat sementara, rata-rata penggiat seni Hollywood mensifatkan langkah yang diambil Warner Bros. ini sebagai satu langkah yang tidak boleh ditarik balik dan mungkin bakal memaksa setiap syarikat produksi Hollywood untuk mengambil langkah yang sama.
Jadi, persoalannya sekarang, apakah nasib yang bakal menimpa industri pawagam, khususnya di Amerika? Pandemik COVID-19 telah membuatkan orang ramai memilih untuk tidak menonton wayang di pawagam kerana takut akan risiko.
Apabila pilihan untuk menonton filem keluaran baharu di rumah diberikan, ada kemungkinan bahawa ia akan mengubah consumer behaviour pada masa akan datang.
Isu ini mungkin lebih relaven buat penduduk Amerika dan tidak buat kita di Malaysia. Namun begitu, tidak boleh dinafikan bahawa langkah yang diambil Warner Bros. ini mungkin boleh mengubah industri pawagam pada masa hadapan.
Difahamkan seluruh pawagam di Malaysia ditutup operasi sejak 2 November yang lalu sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak. Klik pautan di bawah untuk membaca.
Tidak Mahu Rugi, Pawagam Di Seluruh Malaysia Bakal Tutup Operasi Mulai 2 November Ini?
Berdepan Kerugian Disebabkan COVID-19, MBO Cinemas Bakal Tutup Operasi?