Menjadi harapan menggunung buat para pemilik kedai makan mendapatkan servis ulasan makanan dari influencer yang popular dalam melariskan juadah yang dijual kepada orang ramai.
Tular sebuah video di TikTok memperlihatkan seorang influencer terkenal yang membuat ulasan makanan untuk sebuah kedai makanan.
Di dalam video itu, dia bukan sahaja kelihatan seperti acuh tidak acuh sahaja memberi ulasan malahan memasukkan elemen komen sinis yang tidak memberikan sebarang maklumat berkaitan rasa juadah yang dimakannya.
Ekoran tidak berpuas hati dengan hasilnya, pemilik kedai makanan jalanan itu tampil ke hadapan untuk membuat ulasan sendiri berkenaan juadah yang dijual iaitu keropok lekor dan pisang goreng.
“Saya pemilik unclemistreetfood, baru-baru ini ada influencer datang review makanan saya tapi dia review tu bukan bab rasa, dia review merapu merabanlah. Sos rasa abang lori lah” kongsinya dengan nada kesal.
Dia menyambung ulasan juadah yang dijual dengan penerangan dengan lebih teliti dan mudah difahami oleh orang ramai terutamanya berkaitan rasa sos dan kicap yang ditawarkan pada set tersebut.
Akhir sekali, dia mengajak orang ramai untuk datang mencuba sendiri ke kedainya jika berkesempatan dan sempat memerli tindakan individu bergelar reviewer itu.
Melihat dari ruangan komentar, ternyata pemilik sendiri yang memanggil individu terbabit untuk mengulas makanan berserta caj bayaran.
@unclemistreetfood Bila kita panggil utk review makan jadi ginilah..kita terpaksa SABAR..mungkin dengan cara ni dapat memeriahkan suasana dan meramaikan lagi yg datang membeli..sy sambung review dia smlm sbb ramai nk tahu rasa sos abg lori tu..jadi dlm video ni kt explain ya.. #sosrasaabglori #unclemistreetfood #LuLaparLuMari #gorengpisangmalam #keropoklekormalam #kantingombak
Video tersebut sememangnya meraih perhatian netizen dan majoritinya bagaimanapun memuji akan sikap pemilik yang masih tenang membuat ulasan makanan sendiri selepas mendapat hasil yang mengecewakan dari influencer tersebut.
Netizen juga mendakwa video asal yang dimuat naik oleh influencer tersebut tidak berjaya menyampaikan maklumat yang sepatutnya dan ada yang tersalah fahaman kerana pertuturan atau mungkin frasa ayat yang berterabur olehnya.


Selain itu, ramai mula mempersoalkan kredibiliti influencer berkenaan di dalam mengulas makanan susulan sudah beberapa episod sebelum ini memperlihatkan reaksi yang negatif untuk setiap kedai yang didatanginya.