Di Ankara, Turkiye, seorang remaja lelaki yang terlalu taksub dengan permainan video berunsurkan keganasan telah menikam 5 mangsa secara rambang.

Lelaki tersebut memakai jaket kalis peluru dan topi kaledar, telah menyiarkan serangan yang dia lakukan secara langsung di media sosial menggunakan nama Skreewie.

Skreewie sebelum ini selalu menyahut cabaran daripada pengikutnya untuk melakukan serangan di dalam permainan video dengan beberapa tugasan khas diberikan kepadanya untuk meraih ‘gift’ dan derma daripada pengikutnya.

Dan hari itu dia telah memutuskan untuk melakukannya di dunia nyata sambil berharap pengikutnya terhibur dan memberikan lebih banyak derma kepadanya.

Dia turut memakai topeng muka sambil membawa pisau dan kapak bersamanya ketika memasuki Demirbaş Park.

Menurut laporan Daily Sabah dari Turkiye, remaja lelaki berusia 18 tahun itu yang dikenali sebagai Arda K itu telah menyerang mangsanya ketika mereka berada di kafe di hadapan sebuah masjid.

Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya berkata, polis tempatan sudah pun melakukan siasatan ke atas lelaki tersebut yang sudah pun ditahan.

Video ketika dia sedang ditangkap sempat dimuat naik semula oleh netizen. Video ketika dia melakukan serangan sempat disekat oleh kerajaan Turkiye.

Menteri Keluarga dan Perkhidmatan Sosial Mahinur Ozdemir Goktas berkata, punca kejadian itu adalah kerana lelaki tersebut mengalami ketagihan permainan video.

Dia berada di bawah pengaruh permainan video tersebut ketika melakukan serangan. Dan menganggap tindakannya adalah satu keseronokan.

Odzemir Goktas mendoakan kesemua mangsa agar lekas sembuh sambil menasihati semua pihak tentang bahayanya ketagihan permainan video digital.

Dia turut berpesan kepada ibu bapa agar sentiasa memantau anak anak kecil dan anak remaja mereka tentang keburukan ketagihan permainan video kepada mereka.

Ianya boleh mempengaruhi pemikiran dan minda mereka jika terlalu taksub.