Kita sedia maklum pengorbanan seorang ibu yang sanggup bergadai nyawa melahirkan anak mereka sememangnya terlalu besar.
Seorang wanita meluahkan rasa kecewa dengan sikap suaminya tidak dapat menerima kenyataan bahawa dirinya terpaksa bersalin menggunakan kaedah pembedahan atau caesarean (czer).
Kisah sedih tersebut telah dikongsikan oleh seorang wanita menerusi akaun TikTok dan meraih perhatian ramai apabila mencecah 1.3 juta jumlah tontonan pada ketika ini.
Menerusi TikTok, pemilik akaun bernama @flowertersakiti berkongsi beberapa tangkap layar perbualan di WhatsApp memperlihatkan si suami yang memarahi dan menyifatkannya sebagai ‘sudah rosak’ kerana bersalin dengan menggunakan kaedah pembedahan atau czer.
“Keluar dari bilik pembedahan, dalam keadaan bius lagi, tanya ‘nurse’ nak telefon dulu. Buka je ‘chat’ kena maki sebab ’emergency czer’?
“Hari sama juga saya pujuk dia elok-elok, semua hanya untuk dilayan macam tu. Saya juga masuk bilik pembedahan sendiri tanpa kehadiran dia.
“Semua ini dah berlalu namun masih sakit,” ujarnya.
Lebih parah, si suami yang difahamkan tidak menemaninya di dalam wad bersalin juga meminta wanita itu untuk tidak menghubunginya lagi.
“Tak nak I dapat isteri rosak, baik I kahwin dengan orang lain ja.
“Umur macam ini nak lahir guna kaedah pembedahan apanya, tak naklah hidup lagi dengan you,” kata suami kepada isterinya selepas mengetahui kejadian itu.

Perkongsian wanita itu telah meraih perhatian netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan si suami yang tidak bertimbang rasa malah menggelarkan isterinya sebagai barang rosak ekoran pembedahan sewaktu bersalin.
Menurut netizen lagi, si suami sepatutnya menjadi penenang buat isteri yang berhempas pulas untuk melahirkan anak mereka dan bukannya melepaskan kemarahan tanpa sebarang asas.
Dalam masa sama, warganet juga meluahkan rasa kagum terhadap wanita terbabit yang masih mampu mengawal dirinya dan membalas WhatsApp pasangan dengan lemah lembut walaupun dilayan sebegitu rupa.