Pada awal minggu lalu tular satu rakaman CCTV menunjukkan tiga lelaki tempatan membakar seekor anak kucing di kawasan tempat letak motosikal Flat Sri Kenari, Sungai Ramal Baru, Kajang.

Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas perbuatan tersebut, petik Harian Metro.

Baca Juga:

Pesalah juvana itu membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.

Mengikut pertuduhan, anak tunggal itu didakwa bersama-sama dua lagi yang masih bebas secara kejamnya menyebabkan kesakitan kepada seekor kucing dengan membakar haiwan itu di sebuah pangsapuri di sini pada jam 1.08 petang, 22 April lalu.

Dia didakwa mengikut 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan dia boleh didenda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.

Nik Siti Norazlini membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jun ini bagi mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum menjatuhkan hukuman.

Jumlah ikat jamin itu dibenarkan selepas ibu pesalah juvana itu berusia 30 tahun dalam rayuannya memohon ikat jamin dikurangkan berikutan hanya berpendapatan RM1,500 sebulan sebagai pekerja kilang di sebuah syarikat elektronik dan berstatus ibu tunggal.

Sumber