Polis Bangladesh kini menggesa pihak Malaysia untuk menahan pengasas Bestinet iaitu Aminul Islam Abdul Nor dan sekutunya, Ruhul Amin dan menghantar mereka pulang ke negara itu.
Memetik laman Malaysiakini, penahanan ini dibuat ekoran kedua-duanya didakwa melakukan pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan pekerja asing.

Sebagai informasi umum, Aminul merupakan pengasas dan pengerusi Bestinet, syarikat yang mengendalikan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang digunakan kerajaan Malaysia untuk memproses kemasukan ratusan ribu pekerja asing ke negara ini.
Difahamkan Aminul berasal dari Bangladesh dan kini merupakan warga Malaysia. Dia tidak lagi menjadi pengerusi Bestinet bagaimanapun masih memiliki pegangan dalam syarikat itu.
Sementara Ruhul pula warga Bangladesh yang mengendalikan Catharsis International, syarikat yang turut terlibat dalam pengurusan pekerja asing.
Aminul dan Ruhul didakwa memainkan peranan penting dalam sistem yang disifatkan “memeras wang secara menipu ke atas mangsa” dan mendedahkan mereka kepada risiko “seksaan fizikal dan mental”, menurut sepucuk surat bertarikh 24 Oktober lalu oleh Interpol Bangladesh kepada cabang Interpol di Malaysia, yang dilaporkan Bloomberg.
Bahkan, polis Bangladesh Ashiqur Rahman, yang terlibat dalam Interpol negara itu, mengesahkan ketulenan surat tersebut.
Ashiqur berkata pihak berkuasa Malaysia telah membalas surat itu dan meminta polis Bangladesh membuat permohonan ekstradisi secara rasmi.
Dia berkata dokumen-dokumen tersebut sedang dalam proses penghantaran.
Menurut Bloomberg lagi, permohonan itu sebahagian daripada siasatan yang lebih meluas ke atas orang tengah dan penggubal undang-undang yang terlibat dalam penghantaran pekerja dari Bangladesh ke Malaysia.
Pada September lalu, Aminul dan Ruhul dituduh melakukan pengubahan wang haram dalam satu pendedahan oleh laman berita Bangladesh, Prothom Alo.
Pada bulan lalu, pihak Bestinet telah pun menafikan dakwaan penyertaan penggubahan wang haram sebesar RM306 juta dalam membawa masuk pekerja Bangladesh ke Malaysia.
Malah, mereka menegaskan syarikat beroperasi secara sendirian dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Bangladesh.