Bersama berkongsi rezeki dan keberkatan bulan Ramadan 1446H, Media Prima Berhad (“Media Prima”) dan Nestlé (Malaysia) Berhad (“Nestle Malaysia”) berganding bahu dalam usaha murni untuk membantu golongan yang memerlukan melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), ‘Kotak Rezeki Dari Hati’ yang merupakan sebahagian daripada kempen Ramadan Raya 2025 (“RaRa 2025”) Media Prima yang bertemakan ‘Indahkan Memori’.

Misi ‘Kotak Rezeki Dari Hati’ ini mencerminkan komitmen dan keprihatinan Media Prima untuk menyalurkan sumbangan kepada khalayak yang lebih luas dan menceriakan mereka dalam menjalani ibadah puasa dan menyambut Hari Raya yang akan datang, dengan pemberian sumbangan 1,300 kotak rezeki berupa barangan keperluan runcit seperti beras, bihun, sos cili, kopi, serbuk koko, minuman bertenaga dan makanan ringan berkhasiat.

Selain Nestle Malaysia, program ini turut mendapat sokongan daripada rakan-rakan kerjasama lain iaitu Jasmine Food Corporation, pasaraya Econsave, S&P Santan dan Kantin Lab.

Satu majlis pelancaran program ‘Kotak Rezeki Dari Hati’ telah berlangsung di ibu pejabat Media Prima di Balai Berita Bangsar, hari ini sempena Ramadan yang kedua.

Pengagihan ‘Kotak Rezeki Dari Hati’ ini akan diterajui oleh rancangan televisyen TV3 Wanita Hari Ini, stesen radio Hot FM dan Molek FM serta media cetak Harian Metro untuk menyalurkan bantuan keperluan asas kepada golongan memerlukan seperti asnaf, ibu tunggal miskin, rumah-rumah orang tua dan kebajikan, komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan juga petugas barisan hadapan di sekitar lembah klang dan pantai timur.

Turut diadakan simbolik penyampaian sumbangan kotak rezeki kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Dan Perlindungan Al Haq Malaysia, Rumah Raudhatul Al-Faeez, Gombak dan Persatuan Kebajikan Wanita Dan Ibu Tunggal Nur Iman (WITUS) serta majlis berbuka puasa.

Kotak Hati
Datuk Seri Syed Hussian Syed Junid (empat kiri) bersama Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro, Husain Jahit (enam kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad, Juan Aranols (lapan kiri) bergambar bersama penerima sumbangan Kotak Rezeki Dari Hatipada majlis pelepasan Kota Rezeki Dari Hati di Balai Berita. – NSTP/Hazreen Mohamad

Majlis ini disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols.

Turut hadir, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan, Media Prima Berhad dan Ketua Pegawai Operasi, TV3 & Tonton, Media Prima Television Networks (MPTN), Amir Rasyidi Johari; Ketua Pegawai Eksekutif, MPTN & Primeworks Studios, Nini Yusof; Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan, Berita & Hal Ehwal Semasa (NCA), Media Prima dan Pengarang Kumpulan, New Straits Times, Farrah Naz Abd Karim dan Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro, Husain Jahit.

Turut hadir dari Nestle Malaysia adalah Pengarah Eksekutif Kumpulan Hal Ehwal Korporat, Raja Nurmaria Murni; Ketua Eksekutif Perniagaan RTD, Norkhayati Mohamed Hashini; Pegawai Eksekutif Perniagaan MILO, Ng Su Yen; Pegawai Eksekutif Perniagaan Nescafe, Raef Labaki, Pegawai Eksekutif Perniagaan MAGGI, Ivy Tan dan Pengurus Media Kumpulan, Jessica Lim.

Kotak Rezeki Dari Hati tanda Media Prima sentiasa peka

Kotak Hati

Inisiatif amal ‘Kotak Rezeki Dari Hati’ ini dilaksanakan sebagai komitmen berterusan oleh Media Prima dan Nestle Malaysia untuk sama-sama membantu ekonomi tempatan serta menaik taraf kehidupan rakyat Malaysia dengan semangat “Dari Rakyat untuk Rakyat”.

Media Prima sentiasa peka dan cakna terhadap golongan yang memerlukan dimana pelbagai inisiatif dan program dijayakan seperti program Titipan Kasih di bawah seliaan Harian Metro sejak 2007, yang telah membantu lebih 150,000 individu di seluruh negara melalui pengagihan dana serta barangan keperluan asas yang disalurkan melalui Kotak Rezeki.

Sebagai penaja utama program Kotak Rezeki Dari Hati ini, Nestlé Malaysia mengangkat semangat dari “Rakyat untuk Rakyat” dengan menghasilkan tiga (3) kapsul video bertajuk ‘Kisah Menghubung Kasih’.

Video ini menampilkan- kisah inspirasi tentang transformasi kehidupan petani dan pekerja tempatan serta sumbangan mereka dalam menghasilkan produk berkualiti, yang kemudiannya disalurkan kepada masyarakat melalui sumbangan ‘Kotak Rezeki Dari Hati’. Video berdurasi satu (1) minit ini akan disiarkan di TV3 dan TV9 sempena musim perayaan Mac ini.