Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan titah Baginda tidak akan melayan cubaan pihak tertentu untuk melobi bagi mendapatkan darjah, bintang dan pingat Persekutuan.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik akaun Facebook rasmi Yang di-Pertuan Agong sebentar tadi, Baginda menegaskan bahawa pangkat-pangkat tersebut tidak boleh dibeli atau dijadikan alat untuk meraih kepentingan peribadi.
Baca Juga:
- Agong Nasihat Graduan Jangan Terlalu Memilih Kerja, Elak Jadi Penggangur Terhormat
- Agong Kurnia Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas Gelaran Profesor Diraja
- Agong Titah Polis Siasat Menyeluruh Isu Jenayah Berkait GISBH
Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa anugerah kebesaran Persekutuan adalah satu bentuk pengiktirafan tertinggi negara kepada individu yang benar-benar berjasa, bukan untuk dijadikan simbol status semata-mata.
Malah terdapat segelintir pihak yang cuba memanipulasi proses penganugerahan dengan pendekatan tidak beretika demi kepentingan peribadi.
“Walaupun kerajaan menggariskan syarat-syarat yang layak untuk dipertimbangkan, saya juga akan menilai semula setiap calon yang dicadangkan.”
“Memang pada setiap tahun tidak banyak yang melepasi syarat berkenaan. Walaupun ada pihak yang melobi, saya tidak akan layan.”
“Pangkat Datuk dan Tan Sri bukan untuk dibeli. Kalau ada yang banyak sangat duit, buatlah amal jariah dengan bantu orang miskin yang memerlukan,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Titah Diraja sempena Istiadat Mengadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Bagi Tahun 2025 di Istana Negara, pada hari ini.