Seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UiTM, Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi, meninggal dunia pada 13 Nov lalu selepas didakwa menjalani sesi latihan jerih dan tidak berjadual.

Menurut laporan Malaysiakini, Bapa pelatih terbabit, Muhammad Zaidi Abdul Rahman, juga mendakwa kejadian itu melibatkan penderaan secara fizikal.

Menerusi laporan polis yang dibuat, Zaidi mendedahkan anaknya mengalami pelbagai penderaan termasuk dipijak pada dadanya serta dipaksa melakukan sejumlah aksi seperti kuda lalu ditunggang oleh jurulatihnya.

Bapa Dakwa Pelatih Palapes UiTM Meninggal Dunia Ekoran Teruk Didera
Sumber Gambar: Malaysiakini

Tambahnya lagi, Amir Rusyaidi juga dipaksa melompat seperti kangaru.

Difahamkan insiden tersebut berlaku pada 10 November dan dirakam oleh jurulatih terbabit. Pelajar yang baru berusia 25 tahun itu didakwa telah dibiarkan pengsan di bawah panas matahari selama lebih kurang 30 minit di tengah padang.

Lebih teruk lagi, si pelatih terbabit langsung tidak mengambil sebarang tindakan sewaktu mangsa sudah pengsan selama di tempat kejadian sebelum rakan Amir Rusyaidi cuba menolongnya.

“Tetapi telah terlambat dan anak saya tidak sedarkan diri. Kemudian jurulatih itu mengambil tindakan untuk membawa anak saya ke hospital menggunakan kereta beliau.

“Jurulatih itu tidak menelefon ambulans ataupun membawa anak saya ke pusat perubatan di UiTM yang lebih dekat berbanding Hospital Shah Alam,” kata bapa mangsa dalam laporan tersebut dipetik Malaysiakini.

Lebih menduka citakan lagi apabila keluarga mangsa hanya mengetahui perkara itu selepas dihubungi pada 9 malam oleh pihak hospital susulan mahu mendapatkan kebenaran untuk memberi bantuan pernafasan.

Menurut Zaidi, segala perkara yang berlaku kepada anaknya itu mula terbongkar apabila diceritakan semula oleh rakan kepada Amir Rusyaidi selepas pengebumian arwah di Banting, Selangor.

Susulan insiden itu, Zaidi mahu satu siasatan menyeluruh dilaksanakan bagi menyelesaikan kes ini kerana dipercayai bahawa wujudnya kecuaian serta kekasaran melampau yang dilakukan oleh jurulatih terbabit sehingga anaknya menjadi korban.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan bahawa kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Timbalan Komandan Palapes UiTM Ariff Md Ab Malik pula menggesa agar siasatan rapi dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum mengambil sebarang tindakan tatatertib terhadap jurulatih terbabit.