Nota Editor: Kisah ini telah dikongsikan di Facebook Abd Ghani Haron. Kami kongsikan semula di sini dengan izin daripada penulis. Semoga ia dapat dijadikan pedoman buat para ibu bapa hari ini.

TERJUN PARIT KERANA ANAK KEKEJANGAN

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Anak perempuan saya yang kedua baru berusia 2 tahun, demam panas suatu pagi. Bibir merah, mata berair. Merengek sepanjang malam. Pagi tu saya tak pergi kerja, isteri pun tak pergi juga kerana risau.

Kami bersiap nak ke klinik di Sg Petani. Anak kecil itu di riba ibunya duduk didepan dan saya memandu.

Di pertengahan jalan, isteri perasan anak itu kekejangan, kakinya lurus, matanya putih dan gigi menggigit menggetar. Cepat cepat saya berhentikan kereta di tepi jalan.

Kepala ligat memikir apa patut dibuat. Isteri yang panik hanya menangis menggoncang badan dan memanggil nama anak. Saya teringat pesan kawan, jika anak kejang, jirus air. Lalu saya cempung anak itu dan terjun dalam parit di tepi bendang dengan tujuan untuk membasahkan anak itu.

Seorang Cina agak tua yang menunggang motor tetiba berhenti dan bertanya apa hal.Bila saya jawab anak saya tarik (kejang), katanya,

“Lu angkat kasi naik. Gua ada tau sikit ini macam punya sakit”.

Saya pun naik dari parit dan memangku anak.

Cina tua berkata,”lu goyang-goyang dia punya kaki, tangan, mulut bagi lembut.”

Dia pun sibuk memicit sana sini. Akhirnya kekejangan hilang. Dia cepat-cepat suruh saya ke klinik dan pesan isteri terus picit-picit anggota anak. Saya memandu dengan seluar baju basah ke klinik.

Semasa memandu balik, teringat kisah Cina tua itu. Tidak lain inilah pertolongan Allah, yang kekadang kita terlupa bila masalah telah selesai. Kita lebih mudah berkata “Mujurlah…..” dari merasa kehadiran pertolongan Allah kepada kita.

Amat berat untuk berkata Allah telah menolong aku, tapi lebih mudah menyebut “mujurlah …..itu ini”.

Baca: Anak Lukis Gambar Perompak Namun Respon Ayahnya Diluar Kebiasaan Ibu Bapa

Saya nak anda semua merenung dan bermuhasabah, pernahkah anda terbuat begini. Ayuh betul kan kepada untuk merasa kehadiran pertolongan Allah dan bersyukur.

Berhentilah dari menyebut ” mujurlah, nasiblah ada itu ini” kepada menyebut Alhamdullilah, Allah telah menurunkan pertolongannya. Allah takdirkan nak saya itu hari ini menjadi seorang doktor di unit kecemasan Hospital Sultan Abd Halim.

Sebagai ibu bapa, paling dibimbangi anaknya sakit. Rasanya lebih teruk dari diri sendiri yang sakit. Kepada mereka yang menjadi anak, ingatlah emak kamu pernah suatu masa dulu tidak tidur sekejip mata pun. Tangisnya mungkin lebih banyak dari dari kamu yang menangis kerana bimbangnya.

Nak tau rasanya,tunggulah bila kamu ada anak.

Allah boleh datangkan pertolongan dengan tidak disangka. Saya tidak menyangka seorang Cina tua sanggup berhenti kenderaan hanya untuk membantu sedang berapa banyak kenderaan yang berlalu hanya melihat sahaja.

Jika kita menemui sesuatu masalah orang lain, hulurkan bantuan yang terdaya jika kita ada ruang untuk membantu, kerana tidak mungkin Allah jadikan sesuatu melain ada tujuannya.

Mungkin ini satu ujian kepada kita, mungkin ini satu peluang berbuat baik. Moga suatu masa bila kita kecemasan, Allah datangkan pertolongan kepada kita.

Bila terjadi sesuatu yang cemas, jangan bergelut dengan pertolongan manusia sahaja, tetapi mintalah pertolongan Allah disamping mengharap pertolongan manusia. Bila terkeluar dari masalah, rafakkan rasa syukur, rasakanlah kehadiran pertolongan Allah.

Jika dalam Quran Allah menyebut Dia boleh datangkan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka, yakinlah pertolongan Allah juga boleh datang dari arah yang tidak disangka.

Seorang guru saya allahyarham Ustaz Rashid Mahang bercerita, suatu tengah malam dia balik dari mengajar, keretanya rosak di tengah hutan hendak ke Mahang. Tiada rumah orang di situ.

Tetiba datang seorang India mabuk yang nak bantu perbaiki kereta dengan suluhan lampu suluh. Dari mana dia datang, tetapi dia berjaya memulihkan kereta dan berlalu dalam gelap malam.

Ustaz Rashid berkata jangan putus asa dari pertolongan Allah. Allah datangkan pertolongan secara tidak terfikir oleh kita.

Bila berlaku sesuatu yang kita sudah tidak berupaya, berserahlah dan yakinlah pertolongan Allah amat dekat. Jangan sombong berkata mampuihlah aku kali ni, tak ada sapa nak tolong aku dsbnya.

Kembalilah memohon kepada Allah. Jangan bataskan kemampuan dan kuasa Allah. Sesungguhnya Dia mengatur segalanya untuk kita. Kekadang menjadi rahmat, kekadang menjadi ujian, kekadang menjadi kifarah kepada dosa kita.

Selagi niat kita baik, ikhlas, Allah tidak akan menganiaya hambanya.

Baca lagi: 7 Cara Mudah Ibu Bapa Boleh Kenalkan Allah Pada Anak Kecil

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram