Pelancong asing luah kekecewaan di Malaysia selepas didakwa dihalang masuk unit pangsapuri yang ditempah, mendakwa berlaku diskriminasi oleh pengawal keselamatan.

Pelancong tersebut, sebahagian daripada keluarga pempengaruh, The Mwitis, berkongsi di media sosial  dan YouTube mereka bagaimana pengawal keselamatan menghalang beliau dan keluarganya daripada memasuki bangunan pangsapuri selama kira-kira 2 jam sejurus tiba dari lapangan terbang semasa lawatan mereka ke Malaysia.

pelancong
Sumber Gambar: Threads

“Saya mempunyai harapan yang lebih tinggi untuk Malaysia,” luahnya.

Dalam video itu, dia memberitahu bahawa perjalanan dari lapangan terbang ke pangsapuri sewanya mengambil masa hampir satu jam.

Walau bagaimanapun, didakwa bahawa pengawal keselamatan langsung tidak membenarkannya melepasi pintu pagar bangunan.

“Ini betul-betul mimpi buruk. Dari awal sampai di pagar, pengawal dah halang kami, kata ‘Tak boleh, kamu tak stay sini’. Kami terpaksa tunggu dekat pondok pengawal, duduk je dekat pagar dengan Amaya dan Remi (anak-anak dia), dekat 2 jam lepas dah sejam perjalanan dari airport ke apartment.

“Jujur cakap, itu pengalaman paling teruk. Dengan anak-anak saya sekali, saya macam tak percaya, betul ke apa yang berlaku ni?” keluhnya.

Pengawal keselamatan dikatakan telah menyoal pelancong tersebut dengan banyak soalan yang mencurigakan, termasuk mengenai pembayaran dan kebenaran beliau untuk berada di pangsapuri tersebut.

Pelancong tersebut berusaha untuk bertenang dan mengesahkan tempahan dengan tuan rumah, sambil merasa bersalah terhadap isterinya. Beliau juga hampir menangis akibat tekanan situasi tersebut.

“Saya minta maaf kerana membuat awak mengharungi semua ini,” kata lelaki berkenaan kepada isterinya.

Selepas berjaya berhubung dengan tuan rumah, pelancong tersebut mendapat arahan untuk mengambil kunci pangsapuri dari peti berkunci.

Selepas pelancong itu mendapat kunci, pengawal keselamatan hanya meminta pasport mereka sebelum membenarkan masuk tanpa meminta maaf, yang menyebabkan pelancong tersebut mempunyai pandangan negatif terhadap Malaysia.

“Kalau ini Malaysia, bawa saya keluar dari sini. Faham tak? Kalau begini perangai orangnya, saya betul-betul tak nak berada di sini. Kalau anda berkulit hitam, anda tahu betapa susahnya kadang-kadang hanya kerana diprofilkan dengan pandangan negatif.”

“Hanya dinilai tanpa sebab yang kukuh. Memang saya rasa meluat. Lepas tu, saya cuba cari benda-benda positif je kat mana-mana saya pergi,” kongsinya.

Dia mengakhiri videonya dengan menjelaskan bahawa insiden tersebut tidak menggambarkan keseluruhan pengalamannya di Malaysia, kerana “tidak semuanya buruk” dan dia telah bertemu dengan “orang-orang baik sepanjang perjalanan”.

Sementara di ruangan komentar video di saluran YouTube miliknya, warga netizen dari luar negara turut bersimpati dengan situasi yang dialaminya dan berharap lawatan ke Malaysia berjalan lancar.