Seorang bekas ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) menerima sumbangan zakat RM5,000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi membantunya memulakan kehidupan baharu mengikut ajaran Islam sebenar.

Memetik MalaysiaGazette, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata MAIPs melaksanakan langkah membantu bekas ahli GISBH kembali kepada kehidupan sepatutnya termasuk menyediakan peruntukan zakat bagi membebaskan mereka daripada pengaruh ajaran kumpulan itu.

Baca Juga:

“Peruntukan itu adalah sebahagian daripada keputusan yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis dan usaha ini selaras dengan Fatwa Negeri yang mengisytiharkan GISBH sebagai ajaran sesat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian zakat hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.

Difahamkan lelaki yang hanya dikenali sebagai Ahmad, 33 tahun dari Johor itu keluar dan meninggalkan organisasi GISBH pada 2021 lalu.

Terdahulu, Perlis menjadi negeri pertama yang mengisytiharkan GISBH sebagai kumpulan ajaran sesat.