Pentas akhir Piala Malaysia sentiasa menghadirkan seribu satu kenangan buat mana-mana pemain bola sepak tanah air.

Bagi Fadhli Shas, bek pertahanan berpengalaman yang pernah menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT), kenangan menjulang trofi bersama skuad Harimau Selatan kekal terpahat sebagai antara detik paling manis dalam kariernya.

Baca Juga:

“Detik paling manis final Piala Malaysia saya bersama JDT adalah pada tahun 2017 apabila JDT menang ke atas Kedah dengan 2-0 dan kami dapat memastikan trofi itu kembali menuju ke selatan tanah air selepas Johor muncul juara pada 1985 dan 1991,” kongsi Fadhli Shas.

Kini, selepas beberapa musim, pentas akhir kembali disinggahinya, namun kali ini dalam warna berbeza. Menyertai Sri Pahang FC membawa erti tersendiri dan perasaan itu diakui agak berbeza.

“Perasaan teruja dapat kembali beraksi di pentas Final sudah pasti ada, namun semestinya sedikit berbeza kerana Final kali ini saya bersama Sri Pahang dan kita semua sedia maklum dengan kehebatan pasukan JDT,” ujar Fadhli Shas penuh realistik tetapi tetap mengakui pasukannya akan memberi saingan kepada lawan.

Mengulas tentang harapan menjelang perlawanan besar ini, Fadhli Shas tidak lokek memberi pujian kepada barisan rakan sepasukannya.

“Mereka rakan pasukan yang sangat hebat, bermotivasi tinggi dan saya kagum melihat semangat rakan-rakan. Semoga kami semua dapat memberikan aksi terbaik,” katanya, meletakkan kepercayaan penuh kepada skuad Sri Pahang.

Dengan kombinasi pengalaman, semangat dan sokongan padu, final kali ini menjanjikan aksi penuh dramatik.

Sama ada menebus kenangan lama atau mencipta sejarah baharu — segalanya bakal terjawab di pentas keramat Piala Malaysia.