Mahkamah Sesyen baru-baru ini menjatuhkan hukuman penjara 468 tahun ke atas seorang bekas pembantu tadbir kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak.
Hukuman berat ini diberikan selepas tertuduh didapati bersalah atas 36 pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) yang melibatkan lebih RM16 juta dipetik dari Harian Metro.
Selain hukuman penjara 468 tahun, Hakim Musli Ab Hamid turut memerintahkan Mohd Zairull Arzuan Mohd Shamsuddin Ja’afar @ Ang Chui Thong, 38, untuk membayar denda sebanyak RM180 juta. Sekiranya beliau gagal membayar denda tersebut, beliau akan dikenakan hukuman penjara tambahan selama 36 bulan dan tiga sebatan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM5 juta bagi setiap satu daripada 36 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi Mohd Zairull Arzuan. Jika beliau gagal membayar denda tersebut, beliau akan dipenjara satu bulan bagi setiap pertuduhan. Walau bagaimanapun, hukuman penjara bagi kesemua pertuduhan ini akan dijalankan serentak.
Disebabkan hukuman penjara dijalankan serentak, Mohd Zairull sekurang-kurangnya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun. Tempoh ini mungkin bertambah jika beliau gagal membayar denda RM180 juta, yang akan menyebabkan beliau perlu menghabiskan tambahan tiga tahun di penjara.
Perbuatan Mohd Zairull terbongkar apabila penyata gajinya menunjukkan transaksi yang luar biasa, dengan lebih RM4 juta dimasukkan ke dalam akaunnya.
Beliau yang merupakan pegawai yang bertanggungjawab ke atas urusan simulasi gaji jabatan di Sarawak, telah menyerahkan surat peletakan jawatannya yang berkuat kuasa pada 31 Januari 2022.
Walaupun begitu, beliau telah memendekkan tempoh notis peletakan jawatannya dan memilih untuk meletak jawatan serta-merta pada 31 Disember 2021.
Kes pendakwaan ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Amanina Wan Din, Mohd Ashrof Kamarul, dan Manjira Vasudevan, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Christopher Bada.