Acara MAHA 2024 memperlihatkan jutaan pengunjung yang datang ke mari untuk melihat pelbagai produk atau aktiviti yang ditawarkan di sana.

Jadi, terdapat pelbagai ragam manusia lebih-lebih lagi anak kecil yang tampil buas tanpa pemerhatian ibu bapa ketika acara sedang berlangsung.

Memetik mStar, seorang wanita berkongsi pengalaman adik lelakinya yang terpaksa memarahi seorang kanak-kanak kerana bertindak kasar terhadap binatang.

Berang Anak Ditegur Kerana Tendang Binatang, Bapa Marah Peserta MAHA
Gambar hiasan

Berkongsi semula kenangan semasa membuka gerai pameran di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA 2024) yang bermula 11 September lalu, ujar wanita ini, adiknya didatangi seorang kanak-kanak lelaki yang berulang kali menendang haiwan di dalam sangkar.

“Adik aku ambil bahagian dalam MAHA 2024, ada satu hari ni, masa adik aku nak buka gerai pameran…seorang budak lelaki nakal gila, dia pergi tendang-tendang binatang dalam sangkar.

“Adik aku marah budak tu dan dia pun berlalu. Sekali dia datang semula siap bawa ayah dia, kemudian ayah dia marah adik aku dan tanya kenapa marah anak dia,” ujarnya memulakan cerita.

Dia lalu menceritakan situasi sebenar yang berlaku dan sebab mengapa memarahi anaknya pada ketika itu.

Bagaimanapun selepas memaklumkannya
dan bertanyakan sama ada akan dibayar pampasan atau sebaliknya, lelaki terbabit terus mengajak anaknya keluar.

“Adik aku panggil ‘encik’ sebab bapa budak tu macam kerja kerajaan dan memakai baju korporat, kemudian dia cerita yang budak tu tendang sangkar haiwan.

“Adik aku pun cakap la, kalau haiwan tu mati macam mana, encik nak tanggung ke?
Bapa budak tu macam terpinga-pinga je, sambil tepuk-tepuk bahu budak, kemudian mereka beredar keluar dari lokasi kejadian.

“Tak ada pun minta maaf selepas aku bagitahu kesalahan anak dia,” ujarnya lagi yang kesal dengan sikap lepas tangan bapa kanak-kanak itu.

Tambah wanita ini, pelbagai ragam pengunjung dapat dilihat sepanjang berada di gerai pameran adiknya.

Namun apa yang menyedihkan lagi apabila, dia melihat kebanyakan ibu bapa yang membawa ahli keluarga lebih leka bermain telefon bimbit masing-masing berbanding berinteraksi atau bermain bersama anak-anak.

“Aku perhati je mak ayah yang bawa anak ke petting zoo, mak ayahnya duduk jauh sambil main telefon.

“Selalu biarkan anak-anak pegang haiwan dengan kasar, kemudian kalau kena gigit barulah mereka bising cakap anak digigit dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Berdasarkan komentar yang ditinggalkan, majoriti netizen meluahkan rasa geram dengan sikap bapa kanak-kanak terbabit yang bukan sahaja memarahi orang yang menegur malah tidak memberi nasihat terhadap tindakan kasar anaknya dengan binatang di pameran itu.

Dalam masa sama, ada sebahagian netizen yang turut menyertai acara gah berkenaan mendapati ramai ibu bapa yang lepas tangan dengan bermain telefon pintar tanpa mengawasi anak yang bermain dengan binatang.