Pada saban hari, majoriti kita akan membeli-belah di internet dan barang pula dihantar terus ke rumah dalam tempoh tertentu.
Namun begitu, timbul trend yang membimbangkan di dalam kalangan masyarakat apabila wujudnya individu yang tangan panjang di mana mengambil bungkusan yang ditinggalkan di peti surat, tempat kutipan atau di rumah.
Baru-baru ini, seorang wanita yang juga merupakan salah satu ahli komuniti di sebuah kondominium berkongsi satu tangkap layar memperlihatkan mesej yang berupa ancaman kepada individu yang mengambil bungkusan dengan sengaja.
“Bangun pagi nampak mesej ini di dalam group kondo Telegram. Dashyat wei sampai pakai santau siam,” tulisnya pada Threads.
Menerusi kertas yang ditampal pada satu peti surat itu, pemilik telah meminta individu yang mencuri bungkusannya untuk memulangkan semula atau menerima padah akibat disantau kelak.
“Sesiapa yang mengambil bungkusan dari peti surat ini, tolong pulangkan segera. Saya tidak kisah jika awak sudah membukanya, tolong pulangkan.
“Jika awak tidak mahu berbuat sedemikian, saya akan hantar awak kawan! Dan semak alat sulit anda setiap hari. Anda bakal terima karma,” ancamnya.

Ancaman itu kelihatan sangat serius kerana kelihatan tiga bulatan berwarna merah yang didakwa adalah darah dan juga ditulis mantera dalam bahasa Siam.
Apabila diterjemahkan ia mengandungi ancaman dengan mengatakan “Mulai sekarang, kita akan mati bersama” di samping mempunyai simbol dan tulisan mistik lain yang mungkin berkaitan dengan ilmu sihir tradisional Thailand.
Difahamkan gabungan mantera itu digunakan dalam kebanyakan jampi sakti Thai, sama ada nak lindungi diri atau menghantar bala kepada seseorang.
Dalam pada itu, wanita itu turut berkata tidak perlu beri belas kasihan kepada pencuri terbabit jika berlaku sesuatu kerana sudah berlaku pada setiap hari. Sementara pihak pengurusan pula berpeluk tubuh dan tidak melakukan sebarang tindakan.
Melihat ke ruangan komentar, ramai meluahkan kes kecurian hantaran bungkusan sudah semakin melarat dan ini mungkin jalan terakhir yang diambil oleh individu yang mungkin sudah kerap kali menghadapinya.