Nestlé SA, syarikat pembuat kopi terbesar dunia dan jenama di sebalik Nescafe serta Nespresso, nampaknya bakal terus naikkan harga kopi serta memperkenalkan pakej lebih kecil bagi mengurangkan kesan harga biji kopi yang melambung tinggi.
Langkah ini diumumkan oleh David Rennie, ketua jenama kopi Nestlé, semasa Capital Markets Day pada Selasa lalu, lapor The Edge.
Strategi utama syarikat ini termasuk mengutamakan kopi segera dan kapsul, di mana kos seperti biji kopi hanya merangkumi sebahagian kecil harga produk.
“Kami tidak kebal terhadap kenaikan harga kopi, jauh sekali,” kata Rennie. “Kami telah menaikkan harga sebelum ini, dan kami akan terus melakukannya.”
Sejak 2022, Nestlé sudah melaksanakan dua pusingan kenaikan harga.
Bagaimanapun, syarikat ini percaya bahawa portfolio produk mereka — yang merangkumi kopi segera dan kapsul — memberi kelebihan berbanding pesaing lain yang lebih bergantung pada kopi panggang dan kisar.
Untuk menarik lebih ramai pengguna, Nestlé akan menawarkan saiz pek yang lebih fleksibel seperti campuran kopi satu hidangan dan pek isian semula.
Teknologi baharu yang diperkenalkan juga membolehkan syarikat ini mendapatkan lebih banyak hasil daripada setiap biji kopi tanpa menjejaskan kualiti.
Harga biji kopi dunia terus mencatatkan kenaikan mendadak.
Cuaca buruk di Brazil dan Vietnam, dua pembekal utama, telah menimbulkan kebimbangan terhadap hasil tanaman.
Harga niaga untuk arabica, jenis kopi pilihan kedai kopi mewah, meningkat sekitar 50% tahun ini.
Manakala harga robusta, yang digunakan untuk kopi segera, melonjak 65%.
Keadaan ini menambah tekanan kepada pengguna di Malaysia yang sudah sedia terbeban dengan kenaikan harga barang asas.
Nestlé bercadang untuk mengurangkan lagi kos sebanyak 2.5 bilion franc Swiss (kira-kira RM12.68 bilion) menjelang 2027, menurut ketua kewangan, Anna Manz.
Namun, langkah ini mungkin tidak serta-merta membantu margin keuntungan syarikat, kerana kesan kenaikan harga komoditi seperti kopi dan koko akan berlaku secara berperingkat.
Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha Nestlé untuk memenangi semula keyakinan pelabur selepas lebih setahun prestasi yang kurang memberangsangkan dan perubahan besar dalam kepimpinan.