City Developments Ltd. (CDL) yang dikawal oleh jutawan Kwek Leng Beng dan keluarganya telah bersetuju untuk menjual pegangan majoriti dalam sebuah kompleks bercampur yang merangkumi pejabat, hotel dan kediaman di daerah pusat perniagaan Singapura kepada rakan kongsinya dari Malaysia, IOI Properties.
Di bawah perjanjian itu, IOI Properties yang dikawal oleh adik-beradik jutawan Malaysia, Lee Yeow Chor dan Lee Yeow Seng akan membeli 50.1% pegangan CDL dalam South Beach dalam satu urus niaga yang menilai hartanah tersebut pada AS$2.1 bilion (RM9.87 bilion), petik Forbes.
Baca Juga:
- Adik-Beradik Bilionair Malaysia Bakal Lancarkan Projek Kediaman Mewah Bernilai RM8.56 Bilion Di Singapura
- Syarikat Dari Pekan Jementah Kini Bernilai RM6.3 Bilion, Pengasas Eco-Shop Jadi Bilionair Baharu Malaysia
- Ini 19 Individu Malaysia Tersenarai Dalam Bilionair Forbes 2025

Setelah urus niaga ini diselesaikan pada suku ketiga tahun ini, IOI Properties akan memiliki sepenuhnya hartanah komersial tersebut.
Ia merangkumi Hotel JW Marriott dalam bangunan pencakar langit setinggi 45 tingkat, sebuah menara pejabat 34 tingkat dan ruang runcit, serta South Beach Residences yang mempunyai 190 unit dan telah habis dijual sejak September 2021 lalu.
Perkembangan strategik penting bagi syarikat dari Malaysia

“Pengambilalihan 100% ekuiti dalam pembangunan mercu tanda ini menandakan satu langkah pengembangan strategik yang penting bagi IOI Properties,” kata Lee Yeow Seng, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOI Properties.
Sementara itu, Sherman Kwek, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CDL, berkata hasil pelupusan pelupusan pegangan dalam South Beach akan membantu syarikat itu mengurangkan hutangnya, yang telah menjejaskan keuntungan bersihnya.
Keuntungan bersih CDL merosot sebanyak 37% kepada S$201 juta pada tahun 2024 akibat sumbangan yang lebih lemah daripada pembangunan hartanah serta peningkatan kos kewangan.
Syarikat itu kini sedang membangunkan projek perumahan baharu secara terpilih di Singapura di tengah-tengah permintaan yang semakin perlahan.