Bayangkan RM277 bilion hilang begitu saja dalam masa lima tahun – Bukan dalam bentuk pelaburan, bukan juga dalam bentuk subsidi rakyat – tetapi disebabkan oleh rasuah, lapor Harian Metro.
Jumlah ini bukan rekaan, tetapi angka yang dikemukakan sendiri oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berdasarkan anggaran kerugian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dari tahun 2018 hingga 2023.
Rata-rata, Malaysia mungkin kehilangan purata RM55 bilion setiap tahun kerana korupsi.
Dalam bahasa mudah: negara ‘berdarah’ secara senyap dan sistemik.
Rasuah Bukan Benda Baru
Rasuah bukan lagi berlaku dalam bentuk suapan bawah meja, seperti yang sering dibayangkan dalam drama atau filem.
Realitinya jauh lebih licik dan kompleks.
Menurut Azam, jenayah rasuah kini menyamar di sebalik sistem yang kononnya sah — menggunakan nama kos operasi, yuran perunding, perbelanjaan hiburan, atau apa sahaja label yang nampak “profesional” di atas kertas, tetapi hakikatnya menyembunyikan transaksi gelap.
Wang haram itu mengalir melalui beberapa lapisan transaksi sehingga amat sukar untuk dikesan jejak asalnya.
Ini bukan sekadar penipuan akaun semata-mata.
Ia adalah satu bentuk arsitektur jenayah kewangan yang memanipulasi sistem yang sepatutnya menjadi benteng integriti negara.
Ironinya, taktik-taktik ini berlaku di dalam sistem perakaunan dan pengauditan yang sah, malah dalam banyak kes melibatkan mereka yang diberi amanah untuk menjaga duit negara dan syarikat.
‘Individu Lemah Integriti’
Azam memberi amaran, apabila sistem ini dikendalikan oleh individu yang lemah integriti, ia bukan sahaja gagal untuk bertindak sebagai penjaga gerbang (gatekeeper), tetapi sebaliknya bertukar menjadi platform yang melindungi perbuatan jenayah.
Dalam bahasa yang lebih keras, sistem itu sendiri boleh jadi ‘pak turut’ kepada perasuah.
Lebih mengejutkan, kajian daripada EMIR Research pada tahun 2023 mencatatkan angka yang jauh lebih besar.
Berdasarkan analisis mereka terhadap pelbagai sumber data terbuka, jumlah kerugian akibat rasuah dan penyelewengan antara tahun 1997 hingga 2022 dianggarkan mencecah RM4.5 trilion.