Hakim Danish Ramli mempamerkan gaya tungganggan luar biasa untuk muncul juara perlumbaan 2 RedBull MotoGP Rookies Cup 2025 yang berlangsung di Litar Aragon, Sepanyol sebentar tadi.

Selepas meraih kedudukan kedua pada perlumbaan 1 malam tadi, anak kelahiran Kuala Terengganu itu turun ke litar dengan semangat tinggi bagi menamatkan penantian juara dalam saingan lima kali berturut-turut menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Baca Juga:

Seperti dijangka perlumbaan 2 berlangsung dengan cukup sengit sejak permulaan dimana pelumba sering bertukar kedudukan sebagai pendahulu.

Hakim Danish Ramli
Kredit Foto: ZK Racing

Ketika memasuki pusingan ketujuh, Hakim Danish memimpin perlumbaan dengan baik, tetapi sedikit kesilapa menyebabkan beliau tergelincir ke kedudukan ketujuh ketika perlumbaan hanya berbaki tiga pusingan.

Keadaan tersebut tidak langsung menyentap semangat juang pelumba berusia 17 tahun itu yang kembali dengan cukup garang mengejar enam pelumba dihadapannya.

Kejuaraan Sulung Hakim Danish Ramli

Kemuncak kegilaan Hakim Danish hadir pada selekoh terakhir apabila beliau dengan cukup berani meloloskan diri untuk muncul pemenang perlumbaan kali ini.

Danish Hakim Ramli
Kredit Foto: ZK Racing

Pencabar terdekat dari Sepanyol, Brian Uriaerte menamatkan saingan di tempat kedua dan diikuti David Gonzalez, juga dari Sepanyol.

Dengan kemenangan bermakna itu, Hakim Danish Ramli terus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu keseluruhan dengan 125 mata, 30 mata meninggalkan Uriarte di kedudukan kedua.