Enam kakitangan termasuk 3 DJ radio Era FM telah dipanggil ke Bukit Aman berhubung siasatan mengenai dakwaan mempersenda upacara agama Hindu.
Menurut laporan Berita Harian, Tan Sri Razarudin Husain, berkata enam individu terbabit dijadualkan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kira-kira jam 11 hari ini.
Baca Juga:
- JAKIM Kesal Tindakan 3 Penyampai Radio Persenda Agama Lain
- 3 Penyampai Radio Direhatkan Serta-Merta Susulan Kontroversi
- 3 Penyampai Radio Terkenal Mohon Maaf Persenda Agama
Bukit Aman Ambil Keterangan Enam Kakitangan
“Mereka akan diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. Setakat ini, sebanyak 44 laporan polis diterima di seluruh negara membabitkan isu terbabit,” katanya.

Selepas video tular di laman media sosial, tiga penyampai radio telah direhatkan serta merta daripada tugasan mereka gara gara konten yang didakwa mempersenda dan menghina agama Hindu.
Ini selepas mereka membuat jenaka dengan tarian kavadi Hindu, upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Video tersebut membuatkan ramai marah dengannya kerana dianggap biadap dan boleh menggugat keharmornian di negara Malaysia yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Dalam satu kenyataan rasmi pihak Astro Audio berkata: “Astro Audio melahirkan kekesalan atas satu insiden rakaman video melibatkan penyampai kami, Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin, yang telah dikongsi di platform media sosial ERA.
“Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf kerana telah menyakiti hati dan mengecewakan hati pihak terlibat.
“Para penyampai yang terlibat telah mengakui kesilapan mereka dan telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.
“Sebagai sebuah syarikat penyiaran bertanggungjawab, kami memandang serius perkara ini dan selepas pertimbangan yang teliti, kami memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga individu tersebut dari ke udara sehingga diberitahu kelak, sementara kami menjalankan siasatan dalaman ke atas insiden ini.
“Astro Audio komited terhadap kepercayaan para pendengar kami serta memastikan persekitaran media dihormati dan menyeluruh.
“Kami sedang mengambil langkah memperkukuh proses semakan kandungan bagi memastikan program dihasilkan mencerminkan nilai dan jangkaan audiens kami.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan penuh terhadap kesemua garis panduan dan keperluan yang ditetapkan.
“Kami amat menghargai maklum balas dari para pendengar dan pemegang taruh serta akan terus mendengar, belajar, dan memperbaiki diri. Terima kasih di atas sokongan anda.