Legenda Belanda, Ruud van Nistelrooy dikatakan semakin hampir untuk bergelar pengurus kelab saingan EFL Championship, Burnley.

Van Nistelrooy menjadi pilihan selepas pengurus terdahulu, Vincent Kompany memilih untuk menyertai kelab gergasi Jerman, Bayern Munich.

Baca Juga:

Menurut sumber laporan Goal, The Clarets sedang dalam perbincangan lanjutan dengan pengurus Belanda itu dan turut bersedia untuk memberikan peluang buat Nistelrooy bagi memimpin kelab itu kembali semula ke Liga Perdana Inggeris (EPL).

Difahamkan, Burnley mahu mendapatkan seorang jurulatih bercita-cita tinggi yang dapat menghidupkan semula nasib kelab dalam saingan Championship dan mempunyai gaya permainan tersendiri .

Sehubungan dengan itu, pengurusan tertinggi Burnley percaya bahawa Nistelrooy adalah pilihan yang tepat untuk tugasan tersebut.

Sekiranya segala urusan berjalan dengan lancar, salah satu tugas penting buat Van Nistelrooy adalah dalam memutuskan masa depan pemain penyerang, Wout Weghorst.

Pemain yang kini berada di Jerman menghadapi Euro 2024 masih mempunyai kontrak dengan Burnley selama setahun lagi.

Weghorst telah menghabiskan masa dipinjamkan ke Besiktas, Manchester United dan Hoffenheim dalam beberapa musim kebelakangan ini.

Oleh itu, Van Nistelrooy perlu menentukan sama ada Weghorst sesuai dengan rancangannya untuk Burnley atau mengambil langkah menjual pemain tersebut ke pasukan lain.

Van Nistelrooy meninggalkan PSV Eindhoven pada fasa akhir musim 2022/23 walaupun masih mempunyai kontrak sehingga 2025.

Semasa membimbing kelab Liga Eredivisie itu, beliau memimpin pasukan meraih kemenangan dalam Johan Cruyff Shield dan KNVB Cup pada musim pertamanya, serta memastikan tempat ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Kejayaan Ruud van Nistelrooy di PSV menonjolkan potensinya untuk memberi impak yang signifikan di Burnley, sekali gus membawa mentaliti kemenangan dan kepakaran taktikal.

Sumber