Pemain pertahanan muda negara, Harith Haiqal mendapat pujian dari penyokong Selangor selepas menampilkan prestasi cemerlang dalam aksi AFC Champions League (ACL) 2 menentang Jeonbuk Hyundai Motor baru-baru ini.
Harith diturunkan dalam kesebelasan utama dalam aksi tersebut dimana beliau bergandingan dengan Umar Eshmurodov dan Mohammad Abualnadi di benteng pertahanan.
Baca Juga:
- ACL 2 2024/25: Selangor Menang 2-1, Calarkan Rekod Bersih Jeonbuk
- Noor Al-Rawabdeh Alami Kecederaan Lutut, Bakal Terlepas Aksi Musim Ini
- JDT Kelab Kedua Paling Bernilai Di Asean, Selangor Keenam
Selain itu, pengendali pasukan iaitu Nidzam Jamil turut memberi tanggungjawab kepada Harith ekoran Safuwan Baharudin dan Noor Al-Rawabdeh yang tidak dapat diturunkan.
Malam cemerlang bagi pemain berusia 22 tahun itu berterusan apabila beliau menjaringkan gol pembukaan Selangor berpunca dari sepakan percuma yang gagal dikeluarkan oleh pemain Jeonbuk.
Ali Olwan kemudiannya menjaringkan gol kedua bagi skuad Gergasi Merah sekaligus memberikan kemenangan kedua bagi Selangor dalam saingan musim ini.
Persembahan yang ditampilkan oleh Harith Haiqal dalam perlawanan tersebut mendapat pujian dari rata-rata penyokong Selangor dimana bekas pemain skuad B-23 Tahun negara itu semakin matang selain mencipta komunikasi yang baik dengan rakan sepasukan di bahagian pertahanan.
Penyokong juga menganggap Selangor tidak perlu risau dalam mencari ketua pasukan pada masa akan datang dimana Harith mempunyai kriteria yang cukup untuk memakai lilitan kapten pasukan itu.
Kemenangan ke atas Jeonbuk meletakkan Selangor di puncak kumpulan H dengan kelebihan satu mata di hadapan kelab Korea itu yang menghuni tangga kedua.
Selangor juga menjadi satu-satunya kelab dari saingan Liga Super Malaysia yang masih belum tewas di peringkat Asia selepas mencatat dua kemenangan dan satu seri setakat ini.
Selepas ini, Selangor akan turun menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan liga dan mereka akan menerima kunjungan kelab Thailand, Muangthong United dalam saingan ACL 2.