Berita baik buat anda yang perlu membayar saman trafik kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengumumkan penawaran diskaun sebanyak 50% bagi saman terpilih dengan membuat pembayaran melalui portal dan aplikasi MyBayarSaman.
Portal dan aplikasi tersebut dilancarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bersempena Sambutan Hari Peringatan Polis ke-214 baru-baru ini. Tawaran diskaun itu berlangsung selama 18 hari bermula 26 Mac sehingga 11 April.
Menurut Tan Sri Abdul Hamid, analisis yang dijalankan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menunjukkan budaya pembayaran kompaun saman secara online semakin meningkat sejak tahun lalu iaitu 46.7% berbanding 18.5% pada tahun 2019.
“JSPT membangunkan portal dan aplilkasi MyBayarSaman, iaitu kaedah pembayaran yang cepat dan mudah diilhamkan Pengarah JSPT, Datuk Azisman Alias.
“Saya harap kewujudan MyBayarSaman akan mengurangkan kebergantungan JSPT kepada ajen kutipan swasta serta meningkatkan lagi kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan JSPT kepada orang ramai.
“Ia seterusnya memenuhi harapan pengguna untuk membayar saman tanpa had masa dan sempadan selain tidak dikenakan caj perkhidmatan,” katanya selepas melancarkan portal dan aplikasi MyBayar Saman di Bukit Aman.
Inilah peluang yang perlu anda ambil untuk selesaikan saman-saman trafik dengan diskaun sebanyak 50% dari jumlah asal. Anda boleh layari laman web MyBayarSaman atau muat turun aplikasi di Google Playstore.
Baca lagi artikel-artikel mengenai saman yang pernah kami kongsikan sebelum ini pada pautan di bawah.
Pemilik Kenderaan Ekzos Bising Boleh Didenda Atau Penjara Enam Bulan
Kantoi Guna Nombor Plat ‘Fancy’ Semasa Pergi Kerja, Polis Saman Polis