Isu waktu check-in dan check-out hotel yang tidak konsisten semakin mendapat perhatian ramai apabila seorang netizen meluahkan rasa kurang senang dengan masa yang ditetapkan oleh pihak hotel.
Luahan Hakim H(@netnetwok) ini telah mencetuskan perbincangan di media sosial sehingga dia merayu agar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk campur tangan bagi menyelaraskan masa daftar masuk dan keluar hotel-hotel di Malaysia.
Beliau mengeluh mengenai amalan hotel di Malaysia yang menetapkan waktu daftar masuk semakin lewat tetapi mempercepatkan waktu daftar keluar, menyebabkan orang ramai tidak berpuas hati.
Luahan ini telah mendapat perhatian ramai, dengan lebih 369,000 tontonan dan 2,300 tanda suka setakat artikel ini ditulis.
Dalam catatannya di media sosial, Hakim menggesa MOTAC untuk mengambil tindakan segera.
Menurutnya, jika industri pelancongan tempatan mahu mendapat sokongan rakyat, isu ini perlu diselesaikan segera.
“Check-in pukul 4 petang, check-out pukul 11 pagi memang tak masuk akal. Kena boikot ke hotel yang buat macam ni?” katanya dalam catatan berkenaan.
Rungutan ini mendapat sokongan meluas daripada pengguna X yang lain.
Ramai yang meluahkan kekecewaan terhadap alasan yang diberikan oleh pihak hotel, termasuklah alasan bahawa kakitangan yang bertanggungjawab membersihkan bilik tidak mempunyai masa yang cukup untuk membersihkan bilik.
Dalam ruangan komen, ramai rakyat Malaysia bersetuju bahawa hotel yang mengamalkan polisi ini wajar diboikot.
Seorang pengguna meluahkan rasa kecewa apabila hotel-hotel tempatan sering memberikan alasan yang tidak munasabah, dengan mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai masa mencukupi untuk membersihkan bilik.
Seorang lagi pengguna mencadangkan agar semua hotel di Malaysia menyelaraskan masa daftar masuk dan keluar, iaitu pukul 2 petang untuk check-in dan pukul 12 tengah hari untuk check-out, seperti yang diamalkan secara meluas di negara lain.
Malah, ada juga yang mencadangkan untuk membuat senarai hotel yang sengaja melambatkan masa daftar masuk dan mempercepatkan masa keluar supaya memudahkan pengguna membuat pilihan untuk memboikot mereka.