Di sebalik rutin harian yang memenatkan – mengurus anak, mengendalikan rumah tangga, dan dalam masa yang sama cuba ubah nasib dan menjana pendapatan – ribuan wanita dari golongan B40 terus berjuang untuk satu tujuan: memberi kehidupan yang lebih baik untuk keluarga mereka.
Namun, realitinya tak semudah yang disangka. Cabaran ekonomi, kurang akses kepada peluang, serta beban tanggungjawab yang tak pernah surut menjadikan perjalanan mereka lebih mencabar. Inilah antara sebab mengapa sejak tahun 2016, organisasi Women Of Will (WOW) muncul untuk memainkan peranan penting dalam mengubah naratif ini.
Daripada Satu Program, Ribuan Kehidupan Berubah
Sehingga kini, WOW telah membantu lebih 2,900 wanita dari lebih 45 komuniti terpinggir di seluruh Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan Sabah. Golongan sasar mereka jelas – wanita B40, terutamanya ibu tunggal yang menjadi ketua keluarga.
Program yang diperkenalkan bukan sekadar memberi bantuan kewangan, tetapi lebih kepada memperkasakan – dengan ilmu, bimbingan, dan komuniti sokongan. Menerusi dua program utama iaitu WOWED (Women Of Will Entrepreneurship Development) dan CLDP (Community Leadership Development Program).
wanita-wanita ini diberi latihan intensif dalam keusahawanan dan kepimpinan komuniti. Hasilnya, impak yang dicapai cukup signifikan:
– 96% peserta masih menjalankan perniagaan selepas tamat program
– Pendapatan mereka meningkat secara purata minima sebanyak 30%
– 83% melaporkan peningkatan kemahiran yang membolehkan mereka mengembangkan bisnes dan menyumbang kepada komuniti
Lebih Daripada Sekadar Bantuan – Ia Peluang Kedua
Setiap wanita yang terlibat hadir dengan kisah tersendiri. Ada yang pernah terperangkap dalam kitaran kemiskinan, ada yang kehilangan pasangan dan perlu menyara anak-anak seorang diri. Bagi mereka, program ini adalah peluang kedua – bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk memulihkan harapan dalam keluarga dan komuniti.
Kesan dari program ini tidak berhenti pada individu. WOW juga telah melahirkan lebih 110 pemimpin komuniti, yang kini membawa perubahan di komuniti masing-masing. Secara tidak langsung, lebih 20,000 ahli komuniti telah disantuni melalui inisiatif ini.
Bagaimana Anda Boleh Membantu?
Dalam usaha untuk memperluas impak ini, WOW kini membuka peluang kepada orang ramai dan pihak korporat untuk turut serta dalam misi memperkasakan wanita B40.
1. Sertai Sebagai Sukarelawan
Sama ada anda berpengalaman dalam latihan, mentoring, penghasilan kandungan, atau ingin terlibat dalam aktiviti komuniti, WOW sentiasa mencari individu yang mahu menyumbang masa dan tenaga.
2. Sumbangan Kewangan
Dengan hanya RM50, anda boleh membantu:
Menaja sesi latihan kemahiran bisnes untuk seorang peserta, atau menyediakan pek makanan berkhasiat untuk satu keluarga. Sumbangan boleh dibuat di sini.
3. Bekerjasama Sebagai Rakan Strategik
WOW turut mengalu-alukan kerjasama dengan organisasi atau syarikat untuk menyokong program dalam bidang keusahawanan, kepimpinan dan pertanian organik.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman rasmi WOW di sini Atau hubungi WOW melalui email di [email protected]
Setiap sumbangan – sama ada masa, tenaga atau dana – adalah satu langkah ke arah membina komuniti yang lebih seimbang dan inklusif. WOW percaya bahawa apabila seorang wanita diberi peluang dan sokongan, seluruh komuniti akan turut merasai manfaatnya.
Perubahan sebenar tidak datang secara tiba-tiba. Ia bermula dengan seorang, kemudian berkembang kepada beribu. Dan ia bermula daripada anda.