Aksi bertenaga ditampilkan Georgia serta kemaraan ke pusingan 16 dalam kempen Euro 2024 membuatkan bekas Perdana Menteri negara tersebut memberikan bonus lumayan buat kem The Crusaders itu.
Bidzina Ivanishvili yang juga merupakan seorang jutawan dilaporkan mendermakan sebanyak £8.4 juta sebagai tanda penghargaan terhadap skuad kendalian Willy Sagnol itu.
Baca Juga:
- Euro 2024: Georgia Lakar Kejutan Tewaskan Portugal
- Euro 2024: Senarai Lengkap Pasukan Yang Mara Ke Pusingan 16
- Euro 2024: Pesta Kad Kuning Warnai Aksi Republik Czech-Turkiye
Rangsangan kewangan ini bukan sekadar ganjaran tetapi motivasi penting untuk pemain dan kakitangan kejurulatihan ketika mereka membuat persiapan bagi menghadapi aksi pusingan 16 menentang Sepanyol pada 1 Julai nanti.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan Ivanishvili menurut sumber laporan Goal, beliau menegaskan bahawa tambahan £8.4 juta akan diberikan sekiranya Georgia berjaya mara ke suku akhir kejohanan paling berprestij di Eropah itu.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pemain dan barisan kejurulatihan Georgia di atas pencapaian hebat dilakarkan.
Georgia memulakan kempen di Jerman itu dengan kekalahan 1-3 ditangan Turkiye dan kemudiannya mencatatkan keputusan seri dengan Republik Czech.
Aksi terakhir menyaksikan kejutan besar ditampilkan oleh Georgia dengan kemenangan penting dicatatkan ke atas Portugal 2-0.
Gol yang disumbangkan oleh Khvicha Kvaratskhelia dan Georges Mikautadze itu sekali gus menjadi salah satu pasukan yang mara selaku pasukan tangga ketiga terbaik.
Pencapaian terhebat dalam sejarah bola sepak bagi negara yang berpopulasi seramai 3.7 juta itu.
Meskipun bakal berdepan Sepanyol, amat menarik untuk disaksikan apa yang mampu dilakukan oleh barisan anak buah Sagnol pada perlawanan tersebut.