Dalam satu insiden yang dianggap sebagai ‘near miss’, Citigroup, sebuah bank gergasi dari Amerika Syarikat, hampir menyebabkan satu bencana kewangan yang besar apabila secara tidak sengaja memindahkan wang tunai sebanyak S$109 trilion (RM381.5 trilion) kepada salah seorang pelanggannya secara tidak sengaja.
Apa Sebenarnya Berlaku?
Menurut laporan Financial Times (FT), kesilapan ini berlaku pada April tahun lepas.
Ia berpunca daripada dua faktor utama: kesilapan input oleh pekerja dan sistem sandaran (back-up system) yang mempunyai antara muka pengguna yang rumit.
Pada asalnya, hanya US$280 (RM378) sepatutnya dihantar ke akaun pelanggan di Brazil melalui empat transaksi.
Namun, sistem bank telah menyekat transaksi ini.
Apabila transaksi tersebut tersekat, seorang pekerja diminta untuk memasukkan data secara manual ke dalam program yang jarang digunakan.
Di sinilah masalah bermula.
Program tersebut mempunyai medan “jumlah” yang telah diisi dengan 15 angka sifar.
Pekerja tersebut sepatutnya memadamkan angka sifar ini, tetapi tidak melakukannya.
Akibatnya, jumlah yang dihantar melonjak kepada US$81 trilion (RM109 trilion)!
Dua Pekerja Terlepas Pandang Transaksi Ini
Lebih mengejutkan, transaksi gergasi ini terlepas pandang oleh dua pekerja Citigroup.
Pertama, seorang pekerja bahagian pembayaran tidak menyedari kesilapan tersebut.
Kemudian, seorang lagi pegawai yang bertanggungjawab untuk menyemak transaksi sebelum diluluskan untuk diproses pada hari berikutnya juga terlepas pandang.
Nasib baik, seorang pekerja ketiga menyedari kesilapan tersebut selepas melihat masalah pada imbangan akaun bank.
Pada masa itu, 90 minit telah berlalu.
Transaksi tersebut akhirnya dibatalkan beberapa jam selepas ia berlaku.
Citigroup mengklasifikasikan insiden ini sebagai “near miss”, iaitu situasi di mana jumlah yang salah diproses tetapi bank berjaya memulihkan dana tersebut.
Bank itu melaporkan insiden ini kepada Federal Reserve dan Pejabat Pengawal Mata Wang Amerika Syarikat, sambil menegaskan bahawa tiada dana yang keluar dari bank dan tiada kesan kepada pelanggan.
Menurut Citigroup, kawalan pengesanan mereka berjaya mengenal pasti kesilapan input dengan pantas, membolehkan transaksi tersebut dibatalkan sebelum dana keluar dari bank.
Mereka juga menekankan usaha berterusan untuk menghapuskan proses manual dan mengautomasikan kawalan.
Malangnya, ini bukan satu-satunya insiden “near miss” di Citigroup.
Menurut FT, sebanyak 10 insiden “near miss” melibatkan jumlah US$1 bilion (RM1.35 bilion) atau lebih telah berlaku di bank tersebut pada tahun 2024.
Walaupun jumlah ini lebih rendah berbanding 13 insiden pada tahun 2023, ia masih membimbangkan.
Citigroup telah didenda US$136 juta (RM184 juta) pada tahun lepas kerana gagal membetulkan isu kawalan risiko dan pengurusan data mereka.