Collektr, platform barangan koleksi penstriman langsung (livestream) pertama dan terunggul di rantau Asia Pasifik (APAC), telah berjaya melengkapkan pusingan pembiayaan pra-Siri A dengan jumlah pelaburan terkumpul sebanyak USD $1.3 juta (RM5.8 juta).
Pelaburan ini menguatkan peranan inovatif Collektr dalam sektor perdagangan livestream yang kian berkembang, memperkukuhkan komitmennya untuk mentransformasi pasaran koleksi di APAC.
Baca Juga:
- Rumah Teres RM250,000 Dijual Di Shopee, Siap Boleh Guna SPayLater
- Kerajaan Berjaya Raih Pelaburan RM225 Bilion, Rekod Tertinggi Dalam Tempoh 10 Tahun
Pusingan pelaburan ini diterajui oleh AC Ventures Malaysia, dengan penyertaan daripada The Hive Southeast Asia, Creador Foundation, serta 18 pelabur terkemuka merangkumi para eksekutif dan pengasas dari pelbagai industri. Berdasarkan kejayaan pusingan awal yang diketuai oleh First Move, dana baharu ini akan mempercepatkan pertumbuhan Collektr di seluruh APAC, bermula dengan pengembangan ke Singapura dan satu lagi pasaran utama.
Sejak dilancarkan pada April 2023, Collektr telah muncul sebagai platform livestream barangan koleksi utama di rantau Asia Pasifik, menawarkan lebih daripada 100,000 barang unik yang disahkan dari rangkaian penjual yang dipercayai dalam kategori popular seperti Permainan Kad Koleksi, Komik, Sneaker, Beg Tangan, dan Kraftangan Seni.
Platform ini telah mencapai pertumbuhan yang mengagumkan, dengan lebih 10,000 pengguna aktif bulanan dan metrik penglibatan yang konsisten mengatasi pencapaian e-dagang tradisional.
“Kami amat berbesar hati atas kepercayaan para pelabur terhadap visi Collektr untuk mempelopori masa depan industri koleksi dan perdagangan livestream,” kata Adlin Yusman, CEO Collektr.
“Dana ini memberi kekuatan kepada kami untuk berkembang pesat di seluruh rantau APAC, bermula dengan Singapura, sambil terus menawarkan platform dinamik dan selamat untuk para kolektor. Kami menjemput peniaga dan penjual dari seluruh rantau untuk bersama kami membina ekosistem yang hidup di mana peminat dapat meneroka, berhubung, dan memenuhi minat mereka melalui lelongan livestream yang inovatif.”
AC Ventures Malaysia, pelabur utama, turut berkongsi kegembiraan. “Dunia perdagangan dan penjualan atas talian sedang rancak berubah. Perdagangan livestream kini menjadi industri bernilai berbilion dollar AS yang berkembang pesat, menawarkan cara baharu untuk menarik minat dan keterujaan pembeli.
“Kami percaya mereka berada di landasan untuk mengubah landskap koleksi dan livestream secara asas apabila mereka terus berkembang. Pelaburan ini bukan sekadar untuk memacu pertumbuhan; ia juga untuk menyokong Collektr mencipta kelainan dan menetapkan standard baharu bagi lelongan dan pasaran atas talian,” kata Ng Yi Chung, Rakan Kongsi di AC Ventures Malaysia.
Collektr komited untuk membina komuniti kolektor yang meriah di seluruh APAC dan menjemput para penjual serta rakan kongsi berpotensi di seluruh APAC dan luar negara untuk bersama Collektr dalam perjalanan untuk mentakrifkan semula lelongan dalam talian untuk koleksi—mewujudkan pasaran yang selamat, menarik, dan bermanfaat untuk semua. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.collektr.co