Delegasi Indonesia, yang diketuai oleh Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto, telah mengadakan pertemuan dengan Duta Jamieson Greer daripada Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) di Washington bagi membincangkan rundingan tarif timbal balik Amerika Syarikat.

Memetik detikfinance, kerajaan Amerika Syarikat sekali lagi menaikkan tarif import bagi produk yang berasal dari Indonesia. Kali ini, tarif tersebut melonjak daripada 32 peratus kepada 47 peratus.

indonesia
Sumber Gambar: Tempo

Peningkatan tarif ini menjadikan Indonesia negara yang dikenakan beban tarif tertinggi di kalangan negara-negara Asia Tenggara.

Muncul sebagai negara tertinggi dikenakan tarif di kalangan Asia Tenggara

Langkah tersebut diumumkan pada 18 April 2025, sebagai sebahagian daripada dasar ekonomi Presiden Donald Trump yang dikenali sebagai Tarif Hari Pembebasan (Liberation Day Tariffs).

Walau bagaimanapun, menurut Airlangga, masih terdapat tarif-tarif lain yang dikenakan oleh AS ke atas produk Indonesia, menjadikan jumlah keseluruhan tarif jauh lebih tinggi.

Sebagai contoh, walaupun tarif tinggi sebanyak 32% kini diberi potongan sementara menjadi 10% selama 3 bulan, AS masih mengenakan tarif perlindungan untuk barangan tekstil dan pakaian dari Indonesia dengan nilai antara 10-37%.

Ini bermakna, jika dikumpulkan secara keseluruhan, komoditi dari Indonesia menanggung kos yang besar untuk memasuki pasaran AS. Ini kerana kos untuk membayar tarif sahaja boleh mencecah antara 20 sehingga 47 peratus.

“Walaupun sekarang tarif 10% untuk 90 hari, dalam sektor tekstil dan pakaian, tarif sedia ada adalah antara 10-37%, jadi tambahan 10% ini boleh menjadi 10+10 atau 37+10. Ini yang kami risaukan kerana kos eksport kami menjadi lebih tinggi, kerana kos ini akan dikongsi dengan pembeli dan juga pihak Indonesia sebagai pengeksport,” jelas Airlangga dalam sidang media secara maya pada hari Jumaat lepas.

Airlangga berpendapat bahawa tarif-tarif yang dikenakan oleh AS ke atas produk Indonesia jauh lebih tinggi berbanding negara pesaing Indonesia yang lain. Oleh itu, Indonesia menganggap perkara ini sebagai tidak adil.

Tarif yang sangat tinggi itu menyebabkan produk Indonesia tidak dapat bersaing dengan negara-negara pesaing lain di Asia Tenggara, Asia, malah di seluruh dunia.

Ini kerana banyak negara lain dikenakan tarif yang lebih rendah. Indonesia mahukan keadilan dengan mendapatkan tarif yang sama atau lebih rendah.

“Kami tegaskan bahawa selama ini tarif yang tidak adil telah dikenakan oleh AS, termasuk berbanding negara pesaing kita di ASEAN, dan kita mahukan tarif yang adil, serta tidak lebih tinggi,” kata Airlangga.