Seorang pemandu menjadi tumpuan media antarabangsa selepas didenda lebih daripada RM500,000 kerana memandu terlalu dekat dengan kereta di hadapannya di lebuh raya, lapor Carscoops.
Kes yang berlaku di Switzerland ini tular dan menjadi buah mulut orang ramai.
Untuk rekod, negara yang penuh gunung ganang ini terkenal dengan undang-undang memandu yang sangat ketat dan denda yang boleh buat orang terkejut.
Di negara Eropah ini, denda trafik dikira berdasarkan pendapatan tahunan pemandu.

Tujuannya? Untuk memastikan denda tersebut dirasai sama rata oleh semua orang, tidak kira samada pemandu tersebut berpendapatan rendah atau jutawan.
Contohnya, jika seseorang yang bergaji minimum didenda RM1,500, ia pasti akan memberi kesan besar kepada kewangan mereka.
Namun, bagi seorang jutawan, jumlah itu mungkin hanya seperti “duit kopi”.
Di Switzerland, semakin kaya anda, semakin tinggi denda yang perlu anda bayar, walaupun untuk kesalahan kecil.
Ini menyebabkan situasi unik di mana denda yang dikenakan kadangkala melebihi nilai kereta yang dipandu.
Pemandu Didenda RM500,000
Kes yang berjalan sejak 2023, di mana seorang peguam berusia 58 tahun dari Aargau, sebuah kawasan di Switzerland yang bersempadan dengan Jerman, telah ditahan oleh polis kerana memandu terlalu rapat dengan kereta di hadapannya di lebuh raya yang menghubungkan bandar Zurich dan Lausanne.
Mahkamah kemudian memerintahkan peguam tersebut membayar denda bersyarat sebanyak 50 kadar harian, dengan kadar harian ditetapkan pada RM11,000 berdasarkan pendapatan bercukainya sebanyak RM8.5 juta setahun.
Jumlah denda keseluruhan? Sebanyak RM500,000.
Peguam tersebut telah berusaha untuk mempertikaikan denda itu dengan alasan bahawa undang-undang Switzerland tidak menjelaskan secara terperinci jarak selamat yang dianggap sebagai “tailgating” (memandu terlalu rapat).
Namun, pada bulan lalu, Mahkamah Agung Switzerland mengekalkan keputusan asal dan denda tersebut tetap perlu dibayar.
Menurut bukti yang dikemukakan di mahkamah, peguam tersebut memandu pada jarak hanya 8-12 meter dari kereta di hadapannya, dengan kelajuan sehingga 119 km/j, sejauh lebih kurang 2.4 kilometer.
Gambar yang disediakan oleh polis menunjukkan kereta peguam itu seolah-olah “melekat” pada kereta di hadapan, yang dianggap sebagai bukti kukuh oleh mahkamah.
Sebagai tambahan, peguam tersebut juga perlu membayar yuran mahkamah sebanyak RM68,000.