Dalam dunia digital yang semakin berkembang pesat, ramai yang mencari inspirasi dari kisah individu-individu yang berjaya menempuh cabaran hidup untuk mencapai kejayaan.

Salah satu kisah yang kini mencuri perhatian ramai adalah perjalanan luar biasa Che Sayang Kitchen, yang baru-baru ini dinobatkan sebagai Creator of The Year pada TikTok Awards Malaysia 2024.

Che Sayang Kitchen, atau nama sebenarnya Qayyum Halid, bukan sekadar seorang pempengaruh biasa.

Beliau adalah seorang jurutera data yang menemui cinta baharunya dalam bidang masakan, dan dengan keazaman yang tinggi, berjaya membina jenama yang kini dikenali seluruh Malaysia.

Dalam acara yang disiarkan secara langsung di TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Qayyum menewaskan lima pencabar hebat lain iaitu Ryan Bakery, Sofyank, Shi Qi, Daddy Hood, dan Sofea Shra untuk merangkul gelaran berprestij tersebut.

Namun, di sebalik senyuman manis Qayyum di atas pentas, terdapat cerita perjuangan yang penuh liku.

Pada usia 28 tahun, anak kelahiran Seri Manjung, Perak dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Sistem Maklumat daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP) ini telah menghadapi enam kegagalan dalam perniagaan sebelum akhirnya menemui sinar dalam dunia penciptaan kandungan masakan.

Dari menjual roti berharga RM1, stimbot cucuk bebola, sehingga membangunkan syarikat berasaskan teknologi, semua usaha itu menemui jalan buntu.

Tetapi, kata pepatah “pantang berundur sebelum berjuang” menjadi pegangan hidup Qayyum.

Apa yang membezakan Che Sayang Kitchen daripada pencipta kandungan lain ialah pendekatan mudah dan mesra yang diambil dalam berkongsi resipi.

Dengan slogan “2 Minit 1 Resepi bersama Che Sayang”, Qayyum meraih perhatian ramai dengan penyampaian ringkas dan mudah difahami, menjadikan sesiapa sahaja mampu mencuba resipi yang dikongsikan.

Tidak dapat dinafikan, kejayaan ini juga hasil daripada sokongan keluarga, terutama ibunya, Khairiah Ab Rahman, 53, yang menjadi tulang belakang dalam perjalanan kerjaya Qayyum.

Set penggambaran Qayyum yang hanya berlatarkan dapur rumah ibunya di Seri Manjung menjadi saksi kepada video-video yang berjaya mengumpul lebih 1.4 juta pengikut di TikTok, 552,000 pengikut di Instagram, dan lebih 31,000 pengikut di YouTube.

Dalam temubualnya bersama BERNAMA pada awal tahun ini, beliau mengimbas kembali detik awal sebagai pencipta kandungan, di mana beliau berkata hanya menggunakan telefon pintar untuk merakam video masakan.

Namun, seiring dengan peningkatan pengikut dan permintaan terhadap kandungan berkualiti, Qayyum beralih kepada penggunaan kamera yang lebih canggih.

“Kami bermula dengan apa yang ada. Bila mula mendapat maklum balas positif, saya mula serius dan laburkan lebih banyak untuk meningkatkan kualiti video,” kata Qayyum yang menjadikan pempengaruh Khairul Aming sebagai idola.

Dengan pengiktirafan sebagai Pempengaruh Makanan Nasional Terbaik pada KNKV Viral Award 2024 pada awal tahun ini dan kini berjaya menjulang trofi TikTok Creator of The Year 2024, Qayyum tidak hanya melihat anugerah sebagai kemuncak kejayaannya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pengundi, rasa mustahil nak capai, tapi hasil kerja keras dua kali ganda, ini semua berjaya direaliasikan.

“Terima kasih kepada keluarga, menyokong yang undi setiap hari. Kalau boleh bermimpi dan bekerja keras, pasti mimpi dapat digapai,” katanya kepada mereka yang mengundinya malam tadi.

Kisah Qayyum sebagai Che Sayang Kitchen adalah bukti bahawa jika seseorang ada keazaman, sokongan keluarga, dan minat mendalam, ia boleh membawa seseorang ke puncak kejayaan, walaupun melalui jalan yang penuh cabaran.