Siapa sangka, minat terhadap ikan sungai yang jarang ditemui boleh bertukar menjadi perniagaan sampingan yang mendatangkan puluhan ribu ringgit sebulan?
Itulah realiti buat Mohd Elmie Fariesa Sazali, 37, yang berasal dari Terengganu adalah seorang pemandu lori, tetapi kini menjana pendapatan sehingga RM10,000 sebulan dengan menjual ikan-ikan eksotik dari Terengganu.
Dalam temubual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini, Mohd Elmie berkongsi bagaimana spesies seperti ikan kelah merah (red mahseer) dan kelah bintik (spotted mahseer) menjadi buruan penggemar ikan hiasan, dengan harga mencecah RM1,000 seekor untuk spesimen yang unik.

Beliau berkata pernah menjual seekor kelah bintik dijual dengan harga RM1,000 dan ada pembeli yang sanggup bayar dengan harga yang tinggi, terutama jika ikan itu ada ciri istimewa—seperti kepala bulat, yang digelar ‘ikan cacat’ dalam istilah pasar.
Rumahnya kini seperti ‘taman akuarium’ dengan lebih 500 ekor ikan sungai dan eksotik dipelihara dalam pelbagai tangki.
Salah satu yang paling berharga ialah ikan kelah merah dari Terengganu, yang katanya lebih cantik dan berwarna terang berbanding dari negeri lain.
Albino Silver Catfish: Harta Karun ‘Sungai’ Tak Terjual
Antara koleksi paling istimewa Mohd Elmie ialah seekor ikan keli albino yang diberi oleh rakan.
“Saya tak akan jual, walau ada orang tawar harga tinggi. Ikan ini terlalu spesial,” tegasnya.
Sejak 10 tahun lalu, bapa kepada tiga anak ini telah menjual lebih 1,000 ekor ikan sungai dan eksotik.
Pelanggannya bukan sahaja dari Terengganu, malah ada yang datang khas dari Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan untuk mendapatkan ikan rare.

“Ketika musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, permintaan meningkat kerana ramai yang mahu hias kolam atau akuarium mereka. Kebanyakan pelanggan jumpa saya melalui Facebook, dan kadang-kadang saya buat jualan secara live di TikTok,” ujarnya.
Bagi pembeli luar Terengganu, dia turut menyediakan perkhidmatan penghantaran melalui pos.
Mohd Elmie mendapatkan ikan-ikan ini daripada nelayan sungai dan kenalannya.
Isterinya, Rosmaria Mas Hassan, 36, turut membantu memberi makan dan menguruskan jualan ketika dia bekerja.

Namun, antara cabaran yang perlu beliau hadapi sepanjang membuat perniagaan ini adalah ikan yang mati dalam perjalanan, dan ada yang perlu dirawat kerana cedera atau warna kusam akibat pencemaran sungai.
“Ikan yang ditangkap dengan pukat selalunya ada ekor yang luka atau warna pudar. Saya ambil masa 2-3 bulan untuk merawatnya dengan air garam dan pemakanan berkhasiat sebelum ia cukup sihat untuk dijual,” jelasnya.