Seorang lelaki ditahan selepas didapati menggunakan ‘lesen terbang’ ketika pemeriksaan.

Menerusi hantaran Facebook Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Ampang Jaya, ketika membuat sekatan jalan raya Op mabuk di lokasi di Jalan Pandan Utama, seorang individu lelaki menyerahkan kad pengenalan dan lesen memandu untuk pemeriksaan.

Baca Juga:

Kemudian anggota mendapati individu itu memiliki lesen memandu kelas B2, D dan E iaitu lesen memandu motosikal ringan, kereta dan juga lori.

“Pihak polis kemudiannya telah membuat semakan lanjut dengan menggunakan alat MCOPS dan juga Sistem Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia.

“Hasil semakan pada no lesen memandu yang tertera mendapati tiada rekod ditemui.

“Individu berkenaan mengakui bahawa lesen memandu tersebut telah dibeli dalam aplikasi sosial online dengan harga berjumlah RM2,700,” kata BSPT IPD Ampang Jaya.

Data Tiada Dalam Sistem, Lelaki Mengaku Beli Lesen '3 In 1' Berharga RM2,700 Di Media Sosial

Sehubungan itu, individu berkenaan telah dibawa balik ke Balai Polis BSPT IPD Ampang Jaya untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 108 APJ 1987 iaitu lesen memandu palsu terhadap individu terbabit.

Sekiranya didapati bersalah, boleh didenda tidak kurang dari (5) ribu ringgit dan tidak melebihi (20) ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak kurang (1) tahun dan tidak melebih (5) tahun atau kedua-duanya sekali.

“Adalah dinasihatkan supaya orang awam tidak mudah terpedaya atau mempercayai mana-mana iklan atau jualan dokumen-dokumen pengenalan diri seperti lesen memandu yang dilihat di mana-mana aplikasi media sosial.

“Ini kerana sekiranya ditahan oleh pihak polis, semakan terperinci akan dibuat dan sekiranya didapati bersalah boleh ditahan dan dituduh di Mahkamah atas kesalahan yang dilakukan,” pesan BSPT IPD Ampang Jaya.