Selalunya kalau kehilangan barang peribadi dan dijejaki sudah berada di luar kawasan, pasti kita akan melupakan perkara itu apatah lagi jika diketahui sudah tiba di negara yang sedang bergolak.

Namun berbeza buat lelaki dari United Kingdom ini apabila sanggup menjejak pencuri AirPods Pro miliknya hingga negara yang mempunyai konflik politik iaitu Pakistan.

Demi AirPods Kesayangan, Lelaki Barat Sanggup Jejak Pencuri Hingga Ke Pakistan
Sumber Gambar: X

Difahamkan, semuanya bermula dari bulan lalu di mana lelaki yang dikenali sebagai Lord Miles ini memuat naik ciapan yang fon telinga Apple miliknya yang sudah hilang sejak setahun lalu ditemui berada di Pakistan.

“Cuba teka siapa yang akan pergi ke sana pada minggu depan dan dapatkan semula harta miliknya,” tulisnya dengan yakin.

airpods
Sumber Gambar: X

Menurutnya, AirPods Pro miliknya telah dicuri sewaktu menginap di sebuah hotel di Dubai dan berjaya menjejak lokasi semasa iaitu di Jhelum, Pakistan menggunakan AppleID.

“Saya mengaktifkan mod ‘Lost’ dan sentiasa memainkan bunyi ‘find me’ apabila pengguna asing menggunaka AirPods itu,” ujarnya.

Selang beberapa hari lalu, dia pun tiba ke Pakistan dan bekerjasama dengan pihak polis tempatan di Jhelum. Mereka langsung menyerbu ke rumah suspek dan mendapatkan semula AirPods kesayangannya bak filem aksi pula.

Dia mendakwa AirPods Pro itu telah dicuri oleh seorang warga India kemudian dijual kepada pembeli baru yang bertempat di sempadan negara asalnya iaitu Pakistan.

Kisah kesungguhan lelaki itu dalam mendapatkan semula AirPods miliknya sememang menjadi bualan hangat di media sosial global.

Ada yang merasakan ia sesuatu kerja gila kerana sanggup membazir wang (melebihi harga AirPods Pro itu) malahan membahayakan diri sendiri kerana berpotensi diculik atau lebih teruk terperangkap di dalam peperangan.

Sementara yang lain melihat ia sebagai satu tindakan yang boleh dikira wajar apatah lagi jika barang itu merupakan pemberian orang tersayang ataupun memiliki kisah nostalgia yang unik.

Sumber