Sambutan Ambang Merdeka 2024 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka pada 30 Ogos ini dibatalkan serta-merta.

Keputusan itu dibuat sebagai tanda penghormatan kepada mangsa beberapa insiden yang berlaku di sekitar ibu negara baru-baru ini.

Demi Hormati Mangsa Insiden, DBKL Batalkan Sambutan Ambang Merdeka 2024
Sumber Gambar: FB

Menerusi hantaran terkini di laman Facebook DBKL, pihak berkuasa turut mengajak orang ramai untuk menghayati erti kemerdekaan dengan penuh semangat patriotik.

“Pembatalan ini susulan insiden tanah jerlus yang berlaku pada Jumaat lepas di Jalan Masjid India, di mana seorang wanita warga India, Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter,” menurut DBKL.

Dalam pada itu,DBKL juga memaklumkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah memasuki saluran kumbahan secara huluan dari lurang di Wisma Yakin.

Kerja-kerja shoring (sistem sokongan sementara) secara manual dan penggalian juga sedang dilaksanakan.

Usaha untuk mengesan mangsa menggunakan Ground Penetrating Radar (GPR) oleh Jabatan Mineral dan Geosains akan diteruskan dan disambung sehinggga selesai.