Selain persiapan baju raya, kuih raya juga sudah mulai dicari oleh sesetengah individu kerana risau akan stok yang terhad apatah lagi kalau ia terbukti kesedapannya.

Namun siapa sangka ada individu sanggup mengambil beberapa langkah ke hadapan dalam memastikan mereka boleh mendapatkan kuah raya yang diidamkan sebelum habis diborong oleh orang lain.

Seorang lelaki yang dikenali sebagai Nazim berkongsi kisah uniknya di mana mendapat permintaan kuih raya yang perlu dihantar pada hari yang sama kepada pelanggan ‘VIP’ tersebut.

Tanggung tiket flight dari KL ke Johor

Apa yang menariknya adalah, pelanggan berkenaan sanggup membayar tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Johor Bharu demi mendapatkan kuih raya yang dimahukan.

Di dalam video yang dikongsikan, Nazim kelihatan sedang siap membungkus kuih raya yang dipesan ke dalam dua buah beg.

Dia kemudian beransur ke lapangan terbang seawal 7 pagi untuk menaiki kapal terbang yang dijadualkan untuk ke destinasi yang mahu dituju iaitu Johor.

Selepas selamat tiba, dia langsung bertemu dengan pelanggan istimewa tersebut dan memberikan bungkusan kuih raya kepada mereka.

Kedua-dua pelanggannya kelihatan sangat gembira dengan kuih raya yang diterima dan mengucapkan selamat tinggal sebelum berangkat semula ke Kuala Lumpur.

Boleh dikatakan ini merupakan satu kisah yang luar biasa kerana mungkin pertama kali kita mendengar ada individu yang sanggup membayar lebih demi mendapatkan kuih raya yang dimahukan.

Ambil masa 1 jam 45 minit

“Penerbangannya cuma 45 minit, dan tiketnya murah, rasanya bawah RM100. Perjalanan dari rumah ke KLIA ambil satu jam, tapi penerbangan ke JB cuma 45 minit, haha,” dia berkongsi.

Dalam pada itu, dia sempat mempromosikan pelbagai aneka kuih raya yang dijual buat mereka yang berminat dan sedia melakukan penghantaran di sekitar Kuala Lumpur sahaja.

Sementara netizen pula meluahkan rasa teruja apabila melihat momen yang dirakamkan itu malahan mahu mencuba kerana merasakan pasti ia sedap keran ada yang sanggup berbuat sedemikian rupa.