Menteri Tenaga dan Sumber Asli Indonesia, Bahlil Lahadalia, baru-baru ini mengumumkan bahawa Indonesia bercadang untuk menghentikan import minyak bahan api (BBM) dari Singapura dalam tempoh enam bulan akan datang.

Sebaliknya, negara itu berhasrat untuk mendapatkan BBM daripada negara-negara pengeluar minyak utama di Asia Barat. Bahlil membuat pengumuman ini semasa sesi perbincangan bertajuk “Arah Kebijakan Geostrategi dan Geopolitik Indonesia” yang dianjurkan oleh Parti Golkar di Jakarta pada hari Khamis.

minyak
Sumber Gambar: News Harian Jogja

Memetik Sinar Harian, Bahlil, yang juga merupakan Ketua Umum Parti Golkar, menyatakan bahawa selama ini Indonesia sangat bergantung kepada Singapura untuk import bahan bakar minyak (BBM), walaupun Singapura bukanlah negara pengeluar minyak.

Bergantung dengan negara bukan pengeluar minyak

minyak
Sumber Gambar: Times of India

“Minyak dan BBM kita, kita import dari mana? 54 peratus daripada keseluruhan import BBM datangnya dari Singapura – sebuah negara yang langsung tidak mempunyai sumber minyak. Tapi kita tetap beli dari sana,” ujarnya dengan nada kesal.

Tambahnya lagi, harga minyak yang diimport dari Singapura tidaklah jauh beza berbanding dengan harga dari Asia Barat. Oleh itu, tindakan tersebut disifatkannya sebagai satu strategi yang memalukan.

“Bayangkan, 34 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport BBM Singapura adalah untuk pasaran Indonesia. Harga yang mereka tawarkan pula setanding dengan negara-negara Asia Barat. Ini strategi yang memalukan,” katanya lagi.

Bakal mengubah dasar import negara

Minyak
Sumber Gambar: DHL

Rentetan daripada isu itu, Bahlil menegaskan sekali lagi yang pihaknya bakal mengubah dasar import negara Indonesia dengan mula mendapatkan bekalan terus dari negara-negara pengeluar minyak di Asia Barat demi menjaga maruah negara.

“Saya sudah buat keputusan, dalam masa enam bulan, kita tidak akan lagi import minyak dari Singapura. Kita akan import terus dari Asia Barat.

“Lebih bermaruah jika kita dapat minyak dari negara pengeluar seperti Asia Barat, daripada terus membeli dari negara yang tidak pernah melahirkan setitis pun minyak mentah,” katanya.

Menurut beliau, langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Indonesia untuk menyusun semula strategi tenaga nasional dengan tujuan menjamin kesinambungan, maruah, dan kedudukan strategik negara dalam arena geopolitik serantau.