Semalam tular video dua orang rakan sedang memancing dan didatangi seekor harimau. Kedua duanya menjadi panik namun kemudian cepat bertenang menghadapi keadaan itu.

Kejadian itu benar benar langka dan akan menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh dua sahabat baik tersebut.

Salah seorang daripada rakan memberitahu rakannya agar tidak lari kerana mustahil untuk mengalahkan harimau jika berlari di dalam hutan.

Dia meminta rakannya kekal tenang dan tidak bergerak. Dan mereka membaca doa Nabi Sulaiman yang membantu mereka mengelak daripada diterkam pak belang tersebut.

Mereka turut memanjat pokok dan menunggu bantuan sampai setelah mereka menghubungi rakan mereka.

Kedua duanya sempat berseloroh di atas pokok. Netizen benar benar kagum dengan ketenangan kedua dua rakan itu. Malah ada yang memuji: “Walaupun dalam keadaan cemas, video tetap cantik tak goyang.”

Tidak lupa juga netizen yang lain mengusik: “Ada hutang dengan bank harimau ke tu?”

Menurut laporan Sinar Harian, dalam kapsyen video dimuat naik di media sosial, Nazrie Iskandar berkata: “Alhamdulillah masih dipanjangkan lagi umur Mat dan Memeng.

“Pengalaman seumur hidup tengah ‘casting’ harimau datang berdepan. Kepada kawan-kawan mat berhati-hatilah ketika berada di dalam hutan, kita hanya mampu merancang hanya tuhan menentukan.”

Harimau itu kemudian mengambil beg pancing rakannya. Menurut cerita lelaki itu harimau tersebut mengambil beg itu dan berguling guling dengannya.

Orang ramai berharap harimau tersebut akan dapat diselamatkan oleh Perhilitan daripada jatuh ke tangan pemburu haram. Ini kerana spesis harimau semakin terancam pada hari ini.