Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, dia diugut bunuh, dicemuh serta hilang pendapatan sehingga hari ini, sejak kes pertuduhan terhadapnya tular.
Memetik laporan Berita Harian, Siti Bainun, 31, yang membacakan pernyataan saksi ketika sesi bela diri tanpa kehadiran peguam belanya petang semalam, berkata, tindakan saksi pendakwaan pertama, Zurianty Sudin menyebarkan video Bella, menjejas dan memusnahkan hidupnya.
Baca Juga:
- Kehadiran Bella Ke Mahkamah Hari Ini Buat Siti Bainun Menangis Teresak-Esak
- Rasa ‘Dikhianati’, Nurul Zahid Sekeluarga Dedahkan Tidak Mahu Bersubahat Dengan Siti Bainun
- Terima Beberapa Laporan Polis, Pemilik Rumah Bonda Ditahan Untuk Siasatan Lanjut
“Saya dikecam dan diugut bunuh sejak daripada kes ini tular sehingga ke hari ini, hampir setiap masa. Saya juga dicemuh, dihina disebabkan tindakan Zurianty menyebarkan video Bella yang disunting.
“Rumah Bonda juga ditutup dan saya sudah pulangkan rumah yang saya ubah suai bagi tujuan keselesaan penghuninya dengan wang sumbangan.
“Saya hilang pekerjaan, perniagaan makanan saya seperti dipulaukan. Pendek kata, saya hilang segala-galanya kerana tuduhan tidak berasas ke atas saya ini,” katanya pada prosiding bela diri semalam.
Bukan hanya dikecam, beliau turut diugut sehingga beliau takut untuk keluar rumah dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.
Bainun turut berasa curiga dengan niat rakannya, Zurianty yang merakam dan menyebar video Bella sedangkan dia tidak pernah mengambil berat tentang Bella.
Dia berkata Zurianty muncul di rumahnya pada 24 Jun 2021 semasa beliau tidak berada di rumah dan merakam video tersebut dan kemudiannya bertindak untuk menyebarkan video tersebut.
Sebelum ini, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Siti Bainun pada Ogos tahun lalu, Zurianty mengakui merakam video Bella itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju, untuk diberikan kepada seorang individu yang dikenali ‘Syed Azmi.”
Zurianty juga berkata, tujuan dia mengambil video itu untuk meyakinkan individu itu mengenai penderaan dilakukan terhadap Bella.
Terdahulu pagi tadi, Hakim Izralizam Sanusi membuat penetapan prosiding kes pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom down, Bella, itu perlu diteruskan kerana tidak mahu lagi kes itu ditangguhkan selepas beberapa kali tertangguh sebelum ini.
Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Siti Bainun membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella,13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.