Penunggang perkhidmatan penghantaran makanan atau barangan yang cukup dikenali sebagai rider di kalangan orang ramai merupakan salah satu kelompok pengguna jalan raya yang sering melanggar lampu isyarat tanpa mengira keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
Sebentar tadi salah seorang saksi telah berkongsi satu rakaman dashcam kemalangan yang melibatkan sebuah kereta Honda CR-V dengan rider penghantar makanan di salah satu kawasan sekitar Port Klang.
Dalam rakaman video yang sedang hangat menjadi perbualan ramai ketika ini, terdapat dua orang rider sedang melanggar lampu isyarat merah di simpang empat. Salah seorangnya berjaya ‘melintasi’ jalan raya besar tersebut.
Manakala seorang lagi rider telah dilanggar sehingga melambung oleh sebuah Honda CR-V yang tidak perasan dengan kehadirannya kerana kedudukan rider tersebut terhalang dengan sebuah Honda HR-V yang sedang menunggu isyarat merah untuk masuk ke simpang kanannya.
Pertembungan antara kedua-dua buah kenderaan tersebut telah menyebabkan bahagian hadapan kereta Honda CR-V itu mengalami kerosakkan teruk, manakala barangan yang ada pada motosikal rider tersebut bersepah-sepah di atas jalan raya.
Rata-rata orang ramai yang melihat video rakaman kemalangan tersebut berasa simpati dengan kedua-dua belah pihak, pemilik kereta terpaksa menghantar kenderaannya ke bengkel untuk dibaiki. Manakala, rider pula terpaksa menanggung akibat buruk selepas melanggar lampu merah.
Tambah orang ramai lagi, walaupun sudah banyak kali insiden kemalangan melibatkan rider melanggar lampu merah, namun masih ada segelintir rider yang berdegil mempertaruhkan nyawa sendiri serta membahayakan keselamatan orang lain semata-mata mahu mengejar trip.
Selain melanggar lampu merah, ada segelintir penunggang motosikal mempunyai ‘tabiat’ menyelit di laluan tol sehingga menyusahkan pengguna jalan raya yang lain. Lihat aksi-aksi mereka terakam pada dashcam melalui pautan di bawah.
Netizen Geram Lihat ‘Rider’ Menyelit Di Laluan Tol Sehingga Kereta Dihempap Palang
Kereta Langgar Palang Tol, Gara-Gara Motosikal Menyelit Di Laluan ‘SmartTag’